Ezam: Tubuh badan siasat kematian Awang Fadzil
Pemuda Keadilan menggesa supaya sebuah badan penyiasat yang diketuai oleh seorang majistret ditubuhkan segera bagi menyiasat kes kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditemui lemas di Sungai Cia, Matang, Sarawak, Sabtu lalu.
Pemuda Keadilan menggesa supaya sebuah badan penyiasat yang diketuai oleh seorang majistret ditubuhkan segera bagi menyiasat kes kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang ditemui lemas di Sungai Cia, Matang, Sarawak, Sabtu lalu.
Ketuanya, Mohd Ezam Mohd Nor berkata ia perlu disiasat bagi memastikan sama ada wujud unsur kelalaian dalam pengendalian latihan semasa berlakunya kejadian tersebut.
"Siasatan dalam semata-mata adalah tidak memadai samasekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini berhubung kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pelatih Awang Mohd Fadzil Awang Bolhan ditemui lemas di sungai tersebut selepas menyertai gotong-royong di Ruman Kanak-Kanak Lelaki Salvation Army, Kuching. Kehilangannya disedari ketika rakan-rakannya berkumpul untuk pulang ke Unimas.
Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor yang tiba sejurus kemudian dan jenazahnya dihantar ke hospital untuk bedahsiasat.
Menurut Mohd Ezam, walaupun kejadian itu berlaku di luar kem, ia tidak seharusnya dijadikan alasan kerana sepanjang perjalanan PLKN, para peserta adalah dibawah tanggungjawab pihak pengurusan dan para jurulatihnya.
Sekaligus, katanya, ianya juga terletak di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku menteri yang bertanggungjawab untuk melaksanakan PLKN.
Sambil lewa
Oleh itu, Mohd Ezam melahirkan rasa amat kecewanya terhadap Najib yang didakwanya bersikap 'sambil lewa' terhadap kes kematian Awang Mohd Fadzil itu.
"Laporan
Berita Harian
hari ini memetik Najib sebagai berkata: "Jika ia bersendirian kadang-kadang boleh berlaku perkara tidak diingini...tak boleh kata apa". Keadilan kesal dengan sikap sambil lewa Najib yang digambarkan oleh kata-kata beliau, tak boleh buat apa...," katanya.
Najib, katanya, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap PLKN, seharusnya lebih serius dalam perkara ini dan segera mengarahkan aktiviti program tersebut ditangguhkan serta-merta sehingga siasatan terperinci dilakukan untk mengenalkan puncanya, kelemahan kawalan keselamatan dan mengambil langkah menjamin keselamatan pelatih.
"Namun Najib ternyata berhasrat meneruskan PLKN dan menyatakan simpati dengan sekadar mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia menyediakan penerbangan ehsan bagi membawa jenazah Fadzil ke kampung halamannya di Bintulu," katanya.
Beliau juga mendesak Najib supaya meletakkan jawatan dan membuka ruang kepada penubuhan sebuah suruhanjaya bebas bagi membuat siasatan menyeluruh terhadap falsafah dan pelaksanaan PLKN.
Sabtu lalu, Pemuda Keadilan juga telah menyerahkan satu memorandum kepada Ketua Pengarah Jabatan Khidmat Negara mendesak supaya program PLKN ditangguhkan serta-merta.
Mohd Ezam juga menolak alasan Najib bahawa langkah menangguhkan PLKN separuh jalan akan menggagalkan matlamat asal program tersebut.
Jamin keselamatan
"Sebaliknya, meneruskan program itu dengan segala caca-merba yang berlaku, bukan sekadar akan menggagalkan matlamat asal tersebut, malah akan menjejaskan masa depan remaja yang terlibat," tegasnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen DAP bagi Batu Gajah, Fong Po Kuan pula berkata, selagi program tersebut tidak ditangguhkan, maka akan serius terhakiskan kepercayaan orangramai terhadap program tersebut.
Sehubungan itu, beliau juga menggesa supaya pelaksanaan PLKN ditangguhkan untuk mengkaji semula semua masalah dan kejadian yang berlaku yang membabitkan soal keselamatan pelatih.
Dalam satu kenyataan hari ini, Fong berkata, setiapkali berlaku kejadian yang tidak diingini, pihak Kementerian Pertahanan, Jabatan Khidmat Negara dan juga Majlis PLKN akan memberi kenyataan bahawa ianya akan disiasat oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan Najib bahawa sementara menunggu pihak polis atau mana-mana pihak berkuasa menjalankan siasatan, yang selalunya akan mengambil masa, kejadian-kejadian yang diingini boleh dielakkan sekiranya program itu ditangguhkan dahulu.
Malah, katanya, kes kematian Awang Fadzil harus menyedarkan pihak kementerian mengenai kegagalan dan kelemahan program tersebut menjamin keselamatan para pelatih PLKN.

