Pemuda PAS mahu IPT juga diawasi
Pemuda PAS Pusat menggesa kerajaan supaya turut membanteraskan kegiatan maksiat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan tidak hanya tertumpu kepada isu pelajar ponteng sekolah sahaja.
Pemuda PAS Pusat menggesa kerajaan supaya turut membanteraskan kegiatan maksiat di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan tidak hanya tertumpu kepada isu pelajar ponteng sekolah sahaja.
Timbalan ketuanya, Idris Haji Ahmad berkata semua pihak memandang serius peningkatan gejala sosial di kalangan pelajar hari ini, termasuk keruntuhan moral di kalangan pelajar IPT.
"Kerajaan tidak sepatutnya menyembuyikan perkara ini dengan menimbulkan masalah di sekolah sahaja, kerana kini gejala itu juga telah menular ke IPT," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mendakwa kegiatan maksiat berlaku secara berleluasa sehinggakan kes khalwat, berzina, bercumbu dan berdua-duaan sudah menjadi perkara biasa di IPT, di samping kes ponteng kuliah dan samseng.
Katanya, kes tangkapan pelajar berkhalwat di sebuah pusat pengajian di Shah Alam dan Segamat, Johor membuktikan berlakunya keadaan tersebut.
Konsert artis Barat
Selain itu, beliau juga mendesak kerajaan supaya menutup semua pusat permainan video yang menjadi tumpuan pelajar yang ponteng sekolah.
"Semenjak polis
diberi hak
untuk menahan pelajar yang ponteng sekolah, banyak pendedahan dibuat oleh media mengenai pelajar berpeleseran di pasaraya, kelab-kelab hiburan, kelab snooker, pusat permainan video, pawagam dan taman rekreasi.
"Ini menunjukkan bahawa faktor tarikan luaran sangat kuat menarik minat pelajar untuk ponteng sekolah.Mereka yang tidak minat belajar memilih untuk ponteng kerana supaya dapat bersukaria di tempat-tempat tersebut," tambahnya.
Sementara itu, kerajaan harus bertindak tegas terhadap tempat-tempat yang menjadi ' pangkalan ' pelajar yang ponteng sekolah dan menghentikan budaya mungkir di kalangan remaja menerusi program Rakan Muda dan juga penganjuran konsert-konsert artis Barat.
"Selain faktor-faktor luaran ini, gejala sosial yang berlaku di sekolah kerana kurangnya aktiviti keagamaan dan kerohanian," tambahnya.

