Semua wakil rakyat dari Umno di Kedah yang bukan ketua bahagian parti, diminta supaya tidak bertanding merebut jawatan ketua Umno bahagian.

Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain berkata mereka patut memberi peluang kepada orang yang tidak terpilih sebagai calon pilihanraya lalu, memegang jawatan berkenaan.

"Mengikut amalan demokrasi mereka memang boleh bertanding, tetapi saya harap mereka memberi peluang kepada orang lain memegang jawatan juga. Cukuplah mereka menjadi wakil rakyat...jangan nak pegang semua (jawatan).

"Ini adalah nasihat saya, kalau nak ikut, ikutlah kalau tak nak ikut, saya tak boleh buat apa-apa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat daerah kecil Kuala Ketil, dekat Sungai Petani hari ini.

Bernama

melaporkan, beliau bagaimanapun berkata, sekiranya ada ketua bahagian yang berhasrat untuk memberi laluan kepada wakil rakyat Umno di kawasan masing-masing, itu terpulang kepada mereka.

Menurutnya, sebaik-baiknya semua wakil rakyat memberi tumpuan penuh terhadap kawasan masing-masing dan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya berebut untuk bertanding jawatan parti.

Rebut jawatan

"Kita tidak mahu rakyat menilai wakil rakyat yang ada ini sebagai orang yang nak rebut jawatan bukannya nak berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Tujuh daripada 12 Ahli Parlimen dan 17 daripada 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri ini bukan ketua Umno bahgian.

Sehubungan itu, Syed Razak berharap pertandingan di peringkat bahagian atau cawangan akan berjalan dalam keadaan yang sihat.

Kedah mempunyai 15 bahagian dan 1,900 cawangan Umno. Mesyuarat perwakilan peringkat cawangan akan bermula 1 Jun ini manakala di peringkat bahagian pada 8 hingga 22 Julai.

Ditanya sama ada beliau ingin bertanding merebut kerusi Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti September ini, Syed Razak berkata perkara itu masih belum difikirkan lagi.

"Saya kini hanya menumpukan kepada membangunkan Kedah dan menunaikan janji-janji kita (BN) dalam manifesto pilihanraya umum lepas," katanya.