Seorang jurugambar polis hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa kain cadar yang menutupi mayat eksekutif pembangunan perniagaan Noritta Samsudin telah diusik oleh pegawai penyiasat kes itu, ASP Shahrul Lalli Masduki.

Lans Koperal Samsudin Shatar, dari Cawangan Foto di Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields, berkata Shahrul juga menukar kain cadar itu dengan alasan untuk mengambil dan membungkusnya bagi dijadikan bahan bukti kes itu.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam V Sithambaram mengenai bagaimana satu gambar menunjukkan mayat Noritta ditutupi dengan satu cadar manakala empat lagi gambar menunjukkan mayatnya ditutup dengan cadar yang berwarna lain.

Samsudin merupakan saksi pendakwaan kesembilan dalam kes perbicaraan hari kedua jurutera Hanif Basree Abdul Rahman, 36, yang didakwa membunuh Noritta, 22, di D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas, antara jam 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Dis tahun lepas.

Samsudin berkata ketika memasuki bilik berkenaan bersama ASP Shahrul, kira-kira jam 7 pagi pada 5 Dis tahun lepas, beliau mendapati mayat Noritta ditutupi dengan sehelai kain cadar.

Samsudin berkata Shahrul juga telah mengarahkannya untuk mengambil gambar berupa tilam yang kelihatan basah.

Kondominium

Terdahulu, beliau menerima arahan daripada seorang pegawai polis yang dikenali sebagai ASP S Prabakaran untuk mengikutinya ke kondominium itu dan mereka bersama pemandu tiba di tempat kejadian kira-kira jam 5.45 pagi.

Katanya hanya Prabakaran yang memasuki ke dalam unit kondominium berkenaan manakala beliau menunggu kedatangan Shahrul di luar, berdekatan dengan lif.

"Saya tunggu agak lama di luar, lebih kurang satu jam untuk ASP Shahrul. Kemudian, saya memasuki unit itu bersamanya," katanya.

Bagaimanapun, Samsudin berkata beliau menunggu di ruang tamu unit itu antara satu dan satu jam setengah sebelum merakamkan gambar-gambar seperti diarahkan oleh pegawai penyiasat itu.

Samsudin berkata beliau hanya merakamkan gambar-gambar kira-kira jam 8 pagi selepas menerima arahan daripada Shahrul untuk berbuat demikian.

Seorang lagi saksi, pegawal keselamatan Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas memberi penerangan panjang lebar kepada mahkamah mengenai prosedur dan peraturan keluar masuk para pelawat ke dalam premis itu.

Suzaki Supok, 24, dari syarikat Unigaya Security berkata beliau mula bertugas di kondominium itu pada 17 Feb 2002.

Pelawat

Beliau ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya Stanley Augustin ( gambar ), sekiranya seseorang pelawat merupakan pelawat biasa yang selalu masuk ke dalam kondominium dan pengawal keselamatan mengenali pelawat itu, adakah rumah pengawal akan meminta tuan rumah datang menjemput pelawat itu.

Suzaki berkata: "Sekiranya pelawat itu sudah biasa masuk, kita akan bagi dia masuk walaupun tidak berdaftar dan tidak diiringi oleh tuan rumah."

"Pelawat itu boleh memasuki pintu utama dengan menekan loceng unit yang hendak dilawatnya. Dan sekiranya pelawat tidak menerima sebarang jawapan daripada tuan rumah dan tidak tahu masuk ke dalam kondominium, kita (rumah pengawal) akan memberitahu mereka untuk memicit satu lagi loceng di pintu bangunan di tingkat bawah agar kita boleh membukakan pintu utama itu," katanya.

Bagaimanapun, Suzaki menjelaskan bahawa pintu utama hanya akan dibuka untuk pelawat walaupun tidak diiringi oleh tuan rumah sekiranya tuan rumah berkenaan telah memberi izin untuk membuka pintu itu menerusi interkom atau meninggalkan pesan.

"Sekiranya tuan rumah tidak memberitahu tentang pelawat kepada rumah pengawal, kita akan menyuruh pelawat itu menggunakan telefon bimbitnya untuk memanggil tuan rumah berkenaan dan pegawal akan bercakap dengan tuan rumah dengan meminta mengesahkan tentang nombor unit dan butiran-butiran lain," katanya.

Pada masa ini, Hakim Datuk Abdull Hamid Embong meminta Stanley menangguhkan soalannya untuk memberi peluang kepada saksi memberi keterangan dengan jelas mengenai peraturan kondominium itu dan tidak mengelirukan dirinya serta mahkamah.

Stanley dibantu oleh Rosziamayati Ahmad dan Nahra Dollah manakala Sithambaran ( kanan )dibantu Mohamed Haaziq Pillay, N Rajivan dan Robert Devan.

R Rajeswari dan K.Balaguru hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Noritta dan Lim Sin Kean Childs. Perbicaraan disambung Isnin ini.