Pelatih mati lemas: Komandan Kem PLKN engkar arahan
Tindakan akan diambil terhadap komandan Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang, Kelantan, berikutan kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akibat lemas semasa bermandi-manda di Sungai Taman Wangi pada Sabtu lepas.
Tindakan akan diambil terhadap komandan Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang, Kelantan, berikutan kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akibat lemas semasa bermandi-manda di Sungai Taman Wangi pada Sabtu lepas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata siasatan sedang dijalankan, termasuk mendapatkan laporan komandan kem berkenaan yang didapati engkar arahan Jabatan Latihan Khidmat Negara yang melarang kegiatan perkelahan diadakan selepas kejadian pertama pelatih mati lemas di Sungai Cina Matang di Kuching pada 24 April lalu.
Bernama
memetik Najib sebagai berkata beliau diberitahu hasil desakan dan permintaan pelatih, komandan kem itu bersetuju mengadakan program perkelahan tanpa merujuk Jabatan Latihan Khidmat Negara."Saya pun hendak tahu kenapa arahan kita tidak dipatuhi oleh komandan kem. Kejadian ini di bawah kawalan tanggungjawab komandan kem (dan) tindakan boleh diambil," katanya berhubung kejadian yang menimpa pelatih siri ketiga T.Saravanan, 18, dari Taiping, Perak.
Saravanan, yang bersama kumpulannya dan 10 jurulatih kem latihan Etnobotani pergi ke kawasan perkelahan Sungai Taman Wangi, tiga kilometer dari kem tersebut, dan dilaporkan hilang semasa bermandi-manda. Mayatnya dijumpai petang hari yang sama.
Mengenai dakwaan punca kematian Saravanan bukan akibat lemas kerana terdapat kesan lebam, Najib berkata laporan awal menunjukkan pelatih itu terjatuh di kawasan yang berbatu.
Pampasan
"Kawasan itu banyak batu walaupun air di situ cetek dan kawasan itu menjadi tempat kesukaan orang ramai bermandi. Ada kemungkinan pelatih jatuh dan tidak sedar menyebabkan dia lemas...kejadian yang sepatutnya tidak berlaku," katanya.
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga Saravanan, Najib berkata mereka akan menerima pampasan sejumlah RM107,000.
Saravanan merupakan pelatih PLKN yang kedua yang mati lemas. Pada 24 April lepas, seorang pelatih dari Bintulu, Awang Mohd Fazil Awang Borhan mati lemas semasa mandi di Sungai Cina, Matang di Kuching.
Najib berkata kerajaan akan mengkaji secara menyeluruh pelaksanaan PLKN, yang menghadapi beberapa masalah.
"Saya bercadang untuk mengadakan perjumpaan dengan pihak-pihak yang berkenaan supaya keputusan untuk mengkaji pelaksanaan program ini diadakan secara menyeluruh dan perubahan yang dilakukan tidak bersifat ad hoc," katanya.

