Irene yang penuh dengan keberanian
ULASAN Penulis mendesak polis agar menghentikan segala tindakan intimidasi terhadap Irene Fernandez yang merupakan pemberi maklumat penting dalam mendedahkan isu pekerja asing yang ditindas serta rasuah di kalangan badan penguatkuasa.
Polis diminta untuk menyiasat dakwaan pengarah eksekutif Tenaganita itu dengan sikap yang profesional dan tidak berat sebelah.
Sekiranya polis menyiasat dakwaan Irene bawah Akta Hasutan, polis bukan sahaja akan dilihat sebagai tidak profesional malahan seolah-olah melindungi pegawai penguatkuasa yang terlibat dalam rasuah dan ugutan.
Pihak polis perlu mengambil tindakan yang proaktif terhadap kenyataan Irene dalam temu bual dengan Jakarta Post dengan menyiasat isu pekerja asing ditindas dan terpaksa bekerja di tempat kerja yang tidak selamat.
Masalah pemerdagangan manusia serta rasuah yang semakin ketara perlu diatasi dengan tindakan polis yang profesional dan efektif.
Irene Fernandez merupakan aktivis hak asasi manusia yang terkenal di dalam dan luar negeri.
Mahkamah bebaskan
Pada tahun 1995, beliau pernah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana menerbitkan dengan niat jahat satu berita palsu.
Sebenarnya beliau juga mendedahkan keadaan buruk yang wujud di pusat-pusat tahanan imigresen dalam bentuk memorandum.
Dengan semangat gigih berjuang untuk keadilan dalam 13 tahun secara berterusan, Irene dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2008.
Pembebasan tersebut menunjukkan keberanian beliau dalam mencari kebenaran serta mendedahkan sebarang penyelewengan kuasa dan penindasan terhadap golongan yang ditindas.
Dakwaan beliau juga adalah benar dan perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa dan bukannya ditutup.
AMK menegaskan bahawa kerajaan Umno/BN yang selalu mempertahankan justifikasi Akta Hasutan dengan alasan keselamatan, kesejahteraan dan keamanan negara perlu dijamin.
Dasar pekerja asing
Namun demikian, akta tersebut sebenarnya adalah tidak relevan dan menjadi alat kepada kerajaan untuk menekan pandangan yang berbeza serta pihak pembangkang.
Ramai pemberi maklumat yang berani mendedahkan penyelewengan dan salah guna kuasa pihak berkuasa telah dihukum atau ditakuti di bawah akta yang zalim ini.
Oleh itu, AMK menyokong sepenuhnya tindakan Irene yang penuh dengan keberanian.
Kerajaan dan polis diseru agar menghentikan segala fitnah tidak taat setia kepada negara dan merosakkan kestabilan negara ke atas Irene.
AMK menyeru kerajaan agar mengkaji semula dasar pekerja asing yang sedia ada dengan mengambil kira prinsip hak asasi manusia sejagat.
Pekerja asing yang bekerja di Malaysia perlu dijamin dengan hak pekerja yang asas serta perasaan xenophobia perlu dihapuskan dengan segera agar mereka dilayan dengan adil.
LEE KHAI LOON ketua penerangan Pemuda PKR (AMK). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

