Jawatankuasa Disiplin Umno yang dipengerusikan Tengku Ahmad Rithauddeen diberi tanggungjawab menangani dan melakukan siasatan terhadap setiap aduan dan tuduhan salah guna kuasa dan politik wang dalam pemilihan parti kali ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak berkata, pemilihan pucuk pimpinan Umno tahun ini akan menggunakan format dan garispanduan serta etika yang sama seperti pemilihan parti pada 2000.

"Kita telah minta Setiausaha Agung (Tan Sri Khalil Yaakob) lakukan perbincangan untuk menggerakkan Jawatankuasa Disiplin ini," katanya menurut satu laporan Bernama .

Najib yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno, memberitahu pemberita demikian ketika ditanya mengenai format pemilihan parti kali ini, selepas merasmikan seminar dan bengkel `Hentikan Penggodam 2004' di Kuala Lumpur hari ini.

Ibu Pejabat Umno telah mengeluarkan buku Soal Jawab Perlembagaan dan Garis Panduan Pemilihan Umno 2004 (Bahagian-Bahagian dan Cawangan) untuk diedarkan kepada semua cawangan dan bahagian Umno di seluruh negara.

Tataetika itu menyentuh mengenai larangan penyalahgunaan kuasa dan wang, memberi atau menerima sebarang hadiah, penggunaan kekerasan dan ugutan, penggunaan media dan ejen lain untuk berkempen dan melantik atau menjadi ejen pelobi.

Mengikut Perlembagaan, mana-mana ahli yang ingkar boleh dikenakan mana-mana hukuman seperti diberi amaran, digantung hak-haknya dalam parti, dilarang daripada bertanding dalam mana-mana jawatan dalam parti atau dipecat daripada ahli.

Politik wang

Dalam pemilihan parti pada tahun 2000, Umno telah mengambil tindakan disiplin terhadap enam pemimpin Umno, terutama ketua-ketua bahagian, termasuk dikenakan digantung jawatan selepas didapati bersalah melanggar peraturan dan etika pemilihan, terutama membabitkan politik wang.

Umno akan mengadakan mesyuarat serta pemilihan peringkat cawangan sepanjang Jun dan peringkat bahagian dari 8 hingga 22 Julai manakala tarikh Perhimpunan Agung belum ditetapkan.

Mesyuarat perwakilan bahagian kali ini akan membuat pencalonan bagi jawatan tertinggi parti,termasuk presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Manakala mesyuarat perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno juga akan membuat pencalonan bagi jawatan penting dalam pergerakan masing-masing.

Najib, yang juga Naib Presiden Umno dan menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata Jawatankuasa Pengurusan sedang menyelesaikan beberapa aspek teknikal bagi menentukan tarikh perhimpunan itu.

"Dewan Merdeka (tempat persidangan) ini cukup popular daripada segi tempahan, jadi kita terpaksa ubahsuai sikit. Ada orang dah tempah jadi kita kena runding," katanya.

Mengenai persediaan mesyuarat cawangan, Najib berkata ibu pejabat Umno sedang mengemas kini senarai lengkap keahlian setiap cawangan.

"Terdapat pemindahan ahli dari bahagian ke bahagian lain akibat persempadanan baru. Ada 30,000 anggota yang mohon untuk berpindah dan ini mesti diuruskan sebelum mesyuarat cawangan," katanya.

Umno kini mempunyai tiga juta ahli di 191 bahagian dan lebih 17,000 cawangan.