Hindraf akan menawarkan ketuanya P Uthayakumar sebagai calon untuk pilihan raya akan datang.

Ketika dihubugi, Uthayakumar berkata beliau akan bertanding di dua kerusi – parlimen Kota Raja dan di DUN Sri Andalas.

Kawasan parlimen Kota Raja kini diwakili oleh Dr Siti Mariah Mahmud (PAS) manakala Sri Andalas oleh Dr Xavier Jayakumar (PKR).

"Jika saya menang, saya akan menjadi calon Hindraf pertama di parlimen dan DUN Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Katanya, beliau menawarkan platform untuk peluang sama rata, peluang naik taraf dan menghapus amalan rasis kerajaan dan sektor swasta.

Selain kerusi untuk Uthayakumar, Hindraf juga akan bertanding di dua lagi kerusi Parlimen dan tiga kerusi DUN di Selangor.

Bernama memetik Uthayakumar sebagai berkata calon-calonnya akan bertanding atas tiket bebas.

Selain dua kawasan yang akan ditandinginya, Hindraf merancang untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen Kuala Selangor dan Kelana Jaya dan kerusi DUN Ijok, Bukit Melawati dan Seri Setia.

Ditanya bilakah beliau akan mengumumkan nama calon-calon lain, Uthayakumar berkata: "Ini adalah ledakan pertama kami, nama calon lain akan diumumkan apabila tiba masanya."

Uthayakumar berkata Hindraf memilih bertanding di Kota Raja dan Seri Andalas kerana kedua-dua kawasan itu dapat tumpuan lebih masyarakat India. 

Beliau berkata Hindraf tiada pilihan tetapi terpaksa bertanding sebagai calon bebas kerana sehingga sekarang tiada berita tentang pengagihan kerusi daripada Pakatan Rakyat untuk Hindraf.

"Kami tiada alternatif, kami mahu bekerjasama dengan Pakatan Rakyat tetapi tiada apa-apa setakat ini," katanya.

[Baca berita penuh]