Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ahli parlimen bebas, Datuk Ibrahim Ali menyatakan hasratnya untuk bertanding sekali lagi di kawasan parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum akan datang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu mendakwa, beliau akan terus bertanding disebabkan permintaan daripada penduduk setempat.

NONE "Saya dah lama duduk di Pasir Mas. Buruk, baik, adik kakak saya kenal. Ada permintaan yang suruh saya pertahankan kerusi di Pasir Mas. Jadi, kalau saya bertanding lagi, boleh sokong?" katanya dalam satu ucapan malam tadi.

Ibrahim yang menang kerusi parlimen tersebut atas tiket PAS pada pilihan raya umum lalu berkata, beliau berkhidmat di Pasir Mas tanpa sebarang rekod buruk.

"Sepanjang berkhidmat di Pasir Mas, insya-Allah, rekod kita bersih. Tak ada persepsi kita didakwa kerana rasuah dan sebagainya. Saya akan jaga nama rakyat Pasir Mas.

"Saya berjanji, kalau saya boleh bertahankan rekod terbaik untuk jaga kepentingan rakyat Pasir Mas... Saya akan lakukan yang terbaik demi rakyat Pasir Mas. Insya-Allah kita akan terus berjuang," kata Ibrahim.

Dengan nada bergurau, Ibrahim menyalahkan hadirin berkenaan sekiranya beliau tewas dalam pilihan raya akan datang.

"Kalau saya bertanding lagi, kalau kalah, puak-puak awak punya pasal," katanya sambil ketawa.

Beliau berucap di satu majlis makan malam sempena ulangtahun penubuhan Kelab Jaringan Gerak Usaha Pasir Mas (JAGUH) – yang dianggotai penduduk kawasan parlimennya.

Turut hadir pada majlis makan malam dihadiri lebih 1,000 orang itu ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin.

Selain itu juga, satu persembahan wayang kulit juga turut dipentaskan di majlis tersebut, yang antara lainnya memuatkan cerita berhubung isu semasa, khususnya mengenai perhimpunan BERSIH 3.0.

ADS