Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) hari ini mencadangkan supaya muzakarah dengan Umno diadakan secara terbuka bagi membolehkan rakyat "menilai dan melihat isi muzakarah" tersebut.

Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor berkata pucuk kepimpinan PAS bersedia bermuzakarah dengan Umno demi kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara walau apa bentuk platform sekalipun.

"(Pemuda) PAS tidak mahu ianya dibuat secara tertutup kerana ia menghalang maklumat daripada pengetahuan rakyat.

"Malah, PAS secara konsisten mengajak Umno untuk berdebat dalam pelbagai isu termasuk politik dan pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Riduan, bagaimanapun, menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempelawa PAS untuk bermuzakarah sebagai "idea lapuk yang dikitar semula".

Ini kerana, kata Riduan, Umno tidak pernah ikhlas dan serius untuk menyahut cadangan bermuzakarah dengan PAS memandangkan sudah bertahun idea tersebut dilontarkan sebelum ini.

"DPPM menganggap pelawaan muzakarah dengan Umno adalah tindakan terdesak bagi menyelamatkan jangka hayat mereka yang sudah tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

"Mereka menganggap muzakarah akan memberikan kekuatan politik dan boleh memenangkan mereka sehingga menyebabkan keresahan di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat," katanya.  

Riduan berkata pada hakikatnya, umum telah memahami sepak terajang politik sedemikian dan tindakan tersebut hanya menambah kekuatan sokongan terhadap PAS.