Sebarang pengunduran bank-bank Eropah dari Asia merupakan satu peluang bagi bank-bank tempatan untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini, kata bekas gabenor bank pusat Pakistan Dr

Ishrat Husain hari ini.

"Jika mereka mengeluarkan wang mereka secara mendadak semasa krisis, kerugian dijangkakan lebih besar, tetapi ini adalah perkara biasa dalam sektor perbankan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan di Siri Penceramah Ternama Institut Kewangan Asia (AIF) di Kuala Lumpur.

Ishrat Husain, yang ketika ini merupakan Dekan dan Pengarah Institut Pentadbiran Perniagaan (IBA) di Karachi berkata ini akan menjadi peluang bagi bank-bank Malaysia serta bank Asia untuk mengisi ruang kosong itu.

Bagaimanapun, beliau berkata institusi kewangan utama seperti Standard Chartered, Citibank dan HSBC dijangka meneruskan operasinya di rantau ini.

"Saya tidak pesimis tentang aliran modal ke Asia. Rantau ini masih menjadi pusat pertumbuhan bagi dunia dan bank-bank lain akan datang, menggantikan bank-bank yang menarik diri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia akan terus menjadi destinasi menarik kepada pelabur berikutan pasarannya yang menjanjikan pulangan yang baik, memiliki kumpulan berpendapatan tinggi dan tenaga kerja yang berbakat.

- Bernama