RM37.1 juta diperuntuk untuk pelancongan S'wak
Di bawah rancangan pelaksanaan Pertama (2011-2012) Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pelancongan memperuntukkan RM37.1 juta bagi pelaksanaan 50 projek pelancongan yang telah diluluskan di Sarawak.
Menteri Pelancongan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata sehingga kini, 14 projek telah siap, 14 projek lagi telah diberi kepada kontraktor manakala 22 projek masih di peringkat proses perolehan (tender dan sebut harga). Kebanyakan daripada 50 projek itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
"Kementerian saya juga menyelaras dan mengkaji semula cadangan projek pelancongan yang akan dipertimbang di bawah rancangan pelaksanaan ketiga RMK10 bernilai RM153 juta," katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di Kuching, hari ini.
Beliau berkata antara projek itu ialah Bakam Point-Miri, Bekenu Riverfront-Miri, Koridor Pelancongan Miri, Jejak Warisan Kuching, Taman Botanik-Petra Jaya, Muzium Sarawak, Papan Iklan Kuching dan Muzium Maritim.
Johari berkata kementerian juga berharap dengan siapnya jeti di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) akan dapat memberi pengalaman pengangkutan yang unik kepada pelancong yang ingin ke BCCK melalui teksi air.
"Projek itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini," katanya.
Mengenai Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE), Johari berkata terdapat kesedaran yang semakin meningkat terutama di kalangan negara-negara membangun bahawa acara-acara perniagaan seperti persidangan persatuan adalah bahan penting dalam strategi destinasi ekonomi.
Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan nilai rangkaian industri pelancongan, kementerian pelancongan negeri mengiktiraf sumbangan penting MICE kepada ekonomi.
"Tahun lepas, Sarawak menjadi tuan rumah kepada 51 persidangan, Insentif dan Mesyuarat Korporat dengan 14,254 perwakilan dan mencatat perbelanjaan langsung RM27.21 juta," katanya.
Johari berkata jumlah keseluruhan bidaan yang dimenangi tahun lepas ialah 54 dengan anggaran 24,875 perwakilan dengan potensi perbelanjaan langsung perwakilan ialah RM58.30 juta sehingga tahun 2016.
- Bernama

