Suara kaum India Malaysia (MIV) atau dulu dikenali sebagai Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) akan menganjurkan perhimpunan yang dinamakan Indraf 2.0 pada 27 Mei ini.

Menurut pengerusi MIV V Raidu, perhimpunan yang mensasarkan lebih daripada 5,000 orang itu diadakan bagi menyeru agar kaum India memilih sebuah kerajaan yang akan menjaga hak mereka.

"Kami nak tentukan kerajaan yang akan datang selepas pilihan raya umum akan datang ialah kerajaan yang prihatin terhadap masyarakat kaum India.

"Kerajaan BN sekarang telah tidak menjaga kaum India dari segi sosio ekonomi, pelajaran dan pelbagai sektor pekerjaan," kata Raidu pada sidang media petang ini.

Turut hadir pada sidang media itu pengerusi pasukan tindakan Interlok Nasional (NIAT), Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim.

Perhimpunan Indraf 2.0 ini, kata Raidu, akan diadakan di Dewan Girl Guides, Brickfields dan telah mendapat kebenaran daripada pihak polis.

Seramai 100 orang daripada Unit Amal PAS juga akan turut ada bagi mengawal himpunan itu nanti.

Selain itu, Raidu berkata, perhimpunan itu juga akan disertai oleh pimpinan kanan Pakatan Rakyat termasuk Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

"Selain ucapan pimpinan MIV, kita juga akan mengadakan ceramah.

"Dan antara pengisian ceramah itu, kita akan beritahu pada masyarakat tentang apa yang telah dilaksana oleh kerajaan Pakatan di negeri mereka," kata Raidu lagi.