Rakyat M'sia dituduh ubah wang haram di Australia
Seorang rakyat Malaysia yang melakukan pengubahan wang haram hampir A$6.3 juta dalam tempoh lima bulan di Australia dan memindahkan wang itu ke China, didakwa di Mahkamah Daerah Merlbourne pada Rabu.
Wong Lai Yean mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan termasuk enam pertuduhan berkaitan harta yang disyaki diperoleh daripada aktiviti jenayah.
Mahkamah menetapkan minggu depan untuk menjatuhkan hukuman.
Akbar The Age melaporkan Wong ditangkap di pinggir bandar Camberwell November lepas, memiliki wang tunai A$63,000, enam telefon bimbit dan resit deposit tunai A$191,000 di dalam beg galasnya.
Pihak pendakwaan Andrew Sprague berkata Polis Persekutuan Australia juga menemui hampir 1,000 kad kredit palsu di rumahnya di pinggir bandar Mitcham.
Mahkamah diberitahu Wong tiba dari Malaysia pada Mac 2011 dan dari Jun hingga November dia membuat 34 deposit tunai yang diragui berjumlah A$6,297,187 dengan syarikat mata wang di Melbourne, Sydney dan Perth.
Wong ditahan bersama dua lagi tertuduh, yang telah dipenjarakan selepas mengaku bersalah, mendedahkan transaksi kewangan yang disimpan di dalam komputernya, kata pihak pendakwaan.
Sprague berkata polis juga menemui satu pasport palsu dan templat untuk membuat kad kredit serta pencetak dan kertas yang mempunyai pelekat hologram dengan gambar peralatan untuk membuat kad.
- Bernama

