Pakatan Rakyat, yang sering menerima kritikan khususnya dari Hindraf kerana didakwa tidak membantu masyarakat India, hari ini menganjurkan program untuk mendaftarkan ratusan individu yang masih tidak mempunyai status warganegara.

Individu berkenaan hadir ke program pendaftaran tersebut di 20 kaunter yang dibuka di Majlis Perbandaran Klang hari ini dengan membawa kad pengenalan merah dan sijil kelahiran mereka seawal jam 8 pagi.

Sejumlah besar daripada golongan yang hadir itu daripada masyarakat India namun ada di kalangan mereka diperhatikan daripada kaum Cina.

Pendaftaran itu merupakan salah satu daripada usaha kerajaan Selangor untuk menghimpun pengkalan data bagi memudahkan proses permohonan kewarganegaraan mereka daripada kerajaan pusat.

Ketua umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perhimpunan selepas itu berkata, masalah kaum India yang masih tidak mempunyai kad pengenalan kini menjadi masalah nasional yang perlu ditangani kerajaan.

Negara sudah 55 tahun mencapai kemerdekaan namun sebahagian daripada golongan yang dilahirkan dan membesar di negara ini masih belum mempunyai kad pengenalan, katanya dalam perhimpunan tersebut.

Sedangkan warga Nepal yang baru datang ke negara ini selama beberapa bulan sudahpun mempunyai kad pengenalan, katanya lagi.

Tambahnya, perdana menteri sepatutnya terus meminta Jabatan Pendaftaran Negara menjelaskan mengapa seseorang yang tinggal di negara ini sejak sekian lama masih belum menerima kad pengenalan.

[Baca berita penuh]