PPSB: Tapak bina semula kuil telah dikenal pasti
Pengerusi Penang Port Sdn Bhd (PPSB), Datuk Seri Hilmi Yahaya berkata kawasan baru telah dikenal pasti bagi pembinaan semula kuil bagi menggantikan kuil di dalam kawasan Bulk Cargo Terminal (BCT) yang dirobohkan baru-baru ini.
Beliau turut menjelaskan kuil di BCT itu yang dibina sejak 40 tahun lepas terpaksa dirobohkan atas faktor keselamatan kerana ia terletak berhampiran saluran paip gas yang boleh mengundang bahaya.
"Kawasan memang sudah dikenal pasti dan akan diselesaikan dalam tempoh terdekat dan kita ambil sedikit masa," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Politik Barisan Nasional (BN) di George Town hari ini.
Isu perobohan kuil itu hangat diperkatakan dan mula dipolitikkan sejak awal April.
"Ia merupakan isu yang sensitif kerana ia melibatkan hal agama, perbincangan telah diadakan dan kata sepakat juga telah dipersetujui dan ia akan selesai," kata Hilmi.
- Bernama

