Kesilapan dalam warta kerajaan menimbulkan persoalan berhubung kedudukan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad sebagai ahli Parlimen Mersing.

Kesilapan itu ditimbulkan oleh Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) kerana menurutnya Warta Kerajaan bertarikh 12 April lalu mencatat calon PAS, Idris Tukachil sebagai pemenang kerusi Parlimen Mersing .

Warta itu mencatatkan Idris memperolehi 19,222 undi berbanding dengan hanya 4,649 yang diperolehi oleh Abdul Latif ( gambar ).

Warta Kerajaan itu dikeluarkan oleh SPR dan dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).

Menurut Bernama , Kamaruddin menimbulkan perkara tersebut di majlis angkat sumpah ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan kepada laporan Warta Kerajaan itu, Kamaruddin berhujah adalah tidak sah bagi Abdul Latif untuk mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen.

Angkat sumpah

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat Tun Mohamed Zahir Ismail berkata, kesilapan itu tidak menjejaskan kedudukan Dr Abdul Latif sebagai wakil rakyat Mersing dan beliau sah mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen.

Mohamed Zahir juga menjelaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengisytiharkan kepada Dewan Rakyat bahawa Abdul Latif adalah pemenang sah bagi kerusi tersebut dan beliau sendiri akan menulis kepada suruhanjaya itu untuk membetulkan kesilapan berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz yang bertanggungjawab mengenai Parlimen memberitahu sidang media kemudiannya bahawa pihaknya akan menyiasat kesilapan kesilapan tersebut.

"Tidak semestinya kesilapan itu dilakukan oleh pihak SPR. Ada kemungkinan semasa printing (percetakan) berlaku kesilapan," katanya menjawab soalan pemberita mengenai hal itu.

Nazri berkata kesilapan dalam Warta Kerajaan itu adalah masalah teknikal dan pihak beliau tidak menyedarinya kerana ia tidak diedarkan kepada anggota Parlimen, dan hanya mereka yang mendapatkan warta itu daripada PNMB sahaja yang akan menyedari kesilapan itu.