Dr M didakwa tidak layak dianugerah ijazah kehormat Undang-Undang
Pusat Aktivis Gerakan Reformasi Malaysia (Pager) kesal dengan tindakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walhal di zaman pemerintahannya timbul beberapa insiden yang menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
Pusat Aktivis Gerakan Reformasi Malaysia (Pager) kesal dengan tindakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walhal di zaman pemerintahannya timbul beberapa insiden yang menggugat kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
UKM menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang kepada Dr Mahathir dalam Majlis Konvokesyen Khas yang diadakan pada 30 April lalu.
Jurucakap Pager, Badrul Hisham Shaharin berkata, UKM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang dihormati seharusnya meneliti kepada siapa dan apa anugerah yang hendak diberikan.
"Memberikan anugerah tertinggi berkenaan undang-undang kepada seorang yang jelas telah dikritik dunia kerana mencemarkan undang-undang dan sistem kehakiman, adalah amat memalukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Badrul Hisham mendakwa Dr Mahathir tidak layak untuk menerima anugerah tersebut "kerana Malaysia menerima pelbagai kecaman kerana tindakannya 'memperkudakan' sistem perundangan negara".
"Satu ketika dahulu, imej badan perundangan negara dipandang tinggi, malah Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas diiktiraf sebagai antara hakim terbaik di dalam negara komenwel," tambahnya.
Bagaimanapun, Badrul Hisham mendakwa beberapa insiden ketika itu membukti apabila keputusan mahkamah tidak menyebelahinya, maka Salleh telah digantung dan kemudian dipecat dari jawatannya pada tahun berikutnya.
Badan kehakiman
Beliau juga mendakwa, pada Oktober 1987, Mahathir mengambil kesempatan ke atas Parlimen yang hampir tidak mempunyai wakil pembangkang kerana hampir semua ahli Parlimen pembangkang dan pengkritik sosial ditahan dibawah ISA menerusi 'Ops Lallang', untuk meluluskan satu pindaan yang membenarkan Kuasa Eksekutif menguasai Badan Kehakiman.
"Oleh kerana serangan bertali arus termasuk serangan melalui media oleh Dr Mahathir terhadap sistem kehakiman, maka pada Mac 1988, Tun Salleh telah memanggil satu Persidangan Kehakiman.
"Seramai 20 hakim Mahkamah Agung yang bersidang mengambil keputusan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membantah serangan dan kenyataan Dr Mahathir yang menghentam sistem kehakiman secara terbuka," tambahnya.
Malangnya, dakwa beliau lagi, tidak sampai seminggu, Yang di-Pertuan Agong ketika itu telah membalas surat tersebut dengan mengeluarkan titah menggantung Tun Salleh dengan nasihat Perdana Menteri.
Menurut Badrul Hisham lagi, baginda kemudiannya menamakan Tan Sri Abdul Hamid Omar sebagai pengganti dan sebuah tribunal dibentuk yang akhirnya mendapati Tun Salleh bersalah kerana menghina kredibiliti Kerajaan Persekutan.
Jatuhkan Anwar
Badrul Hisham yang juga timbalan ketua penerangan Pemuda Keadilan, seterusnya mendakwa sistem perundangan negara telah 'diperkudakan' untuk menjayakan konspirasi menjatuhkan lawan politik D Mahathir Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berikutan itu, katanya, badan kehakiman antarabangsa, badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa dan beberapa buah Parlimen dunia, mengutuk perbicaraan Anwar yang menurutnya jelas memperlihatkan keadilan dihina.
"Apakah panel penilai yang menilai penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM lupa untuk menilai perkara perkara tersebut? Atau keputusan untuk memberi anugerah tersebut hanya berdasarkan keputusan berkepentingan politik dan glamor semata-mata?" tambahnya.
Oleh itu, Badrul Hisham menyifatkan majlis konvensyen khas tersebut "merupakan satu majlis pemasyhuran yang menghina keseluruhan institusi UKM".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.