Eksekutif pembangunan perniagaan Noritta Samsudin mati selepas mengadakan hubungan seks, seorang ahli patalogi forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama , Dr Ab Halim Mansar, Pengarah Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur, berkata beliau merumuskan Noritta mati selepas mengadakan hubungan seks berdasarkan takungan cecair yang banyak dalam bahagian vagina.

Apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Stanley Augustin untuk menerangkan apa cecair itu, Dr Ab Halim berkata: "Cecair itu adalah kemungkinan dihasilkan oleh ejakulasi pelaku dan campuran cecair yang dikeluarkan mangsa".

Augustin: "Dengan keadaan cecair banyak di vagina simati, apa pandangan doktor mengenai perkara itu?"

Dr Ab Halim: "Pada pandangan saya, satu kemungkinan di mana setelah mengadakan hubungan seks, mangsa mati."

Sekiranya dilihat secara keseluruhan, beliau berkata hubungan seks itu berlaku sebelum Noritta meninggal dunia kerana terdapat kesan lebam dan pengumpulan cecair yang banyak dalam vagina.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan dalam kes perbicaraan jurutera Hanif Basree Abdul Rahman, 36, yang didakwa membunuh Noritta, 22, di D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria, Jalan 17, Sri Hartamas, antara jam 1.30 pagi dan 4 pagi, 5 Dis tahun lepas.

Berbaring

Augustin:"Jika hubungan seks diadakan semasa Noritta masih hidup, adakah kandungan cecair boleh takung dengan banyak?"

Dr Ab Halim:"Ya. Kalau mangsa dalam keadaan baring, cecair akan bertakung dengan banyak. Tetapi kalau mangsa berdiri atau bergerak, cecair itu akan tumpah dan tidak akan bertakung. Dalam kes ini, mangsa telah mati dalam keadaan baring".

Beliau yang pertama kali mengendalikan kes melibatkan takungan cecair yang banyak di vagina, menyifatkan takungan itu sebagai sesuatu yang luar biasa di dalam pengalamannya.

Katanya, hubungan seks masih boleh dilakukan walaupun Noritta telah mati kerana posisi si mati yang tidak bergerak boleh menyebabkan cecair berkumpul di situ.

Berdasarkan pemeriksaan ke atas mayat Noritta, Dr Ab Halim berkata kematian Noritta berlaku lebih dari enam jam tetapi masih dalam tempoh masa 24 jam.

Augustin: "Mengenai kesan lebam di bahagian vagina, pada pandangan doktor, hubungan seks itu diadakan secara paksa atau rela?"

Kesan lebam

Dr Ab Halim: "Kemungkinan ada paksaan ataupun hubungan seks yang kasar."

Ditanya mengapa begitu, pakar perunding dan ketua unit forensik hospital itu berkata ini adalah kerana terdapat lebam dan sekiranya hubungan seks dilakukan secara sukarela, tidak ada kesan lebam yang kelihatan.

Apabila ditanya apakah punca kematian Noritta, beliau berkata: "Asphyxial Death" (Kematian Asfiksia).

Ketika diminta menerangkan terma itu, Dr Ab Halim berkata dalam kes ini, ia diklasifikasikan sebagai mekanisme asfiksia yang membawa maksud kelemasan akibat daripada penyekatan oksigen ke otak.

Dr Ab Halim berkata dua tuala muka yang dimasukkan secara paksa di dalam mulut mangsa juga boleh menyebabkan kematian.

Kematian

"Ini adalah kerana apabila bahan dimasukkan secara paksa, lidah akan didorong ke belakang dan menyebabkan saluran pernafasan akan tersumbat," katanya.

Augustin: "Semasa perbicaraan, ada saksi mengatakan sarung bantal peluk diikat di keliling mulut si mati dan di pusing sebanyak dua kali. Adakah ini boleh menyebabkan kematian?"

Dr Ab Halim: "Kemungkinan mulut sahaja ditutupi, ia tidak boleh menyebabkan kematian. Bagaimanapun, sekiranya ada kain di dalam mulut dan mulut itu diikat dengan kain, ia boleh menambahkan penyumbatan saluran pernafasan.

"Dengan kain di dalam mulut, sarung bantal peluk diikat pada mulut dan sarung bantal diikat pada kepala, ini semua boleh menyebabkan kematian kerana telah menghalang kemasukan oksigen ke dalam saluran pernafasan," katanya.