Sekumpulan 15 pelumba basikal dari beberapa negara memulakan kayuhan malam tadi bagi mencipta sejarah berkayuh sejauh 800 kilometer dari Sungai Golok di selatan Thailand ke Singapura dalam masa 48 jam.

    

Program Trans Malaysia Express (TME) anjuran Tourism Malaysia itu membabitkan pelumba dari Amerika Syarikat, Ireland, United Kingdom dan Singapura, kata Timbalan Pengarah Bahagian Pemasaran Antarabangsa (Asia Tenggara) Tourism Malaysia Zakaria Mohd Nani.

    

"Mereka akan berkayuh tanpa henti merentasi Terengganu menuju ke Kuantan dan kemudian ke Pekan sebelum berhenti rehat selama enam jam. 

"Seramai 50 pelumba dari Persatuan Berbasikal Pahang akan mengiringi mereka setibanya di Kuantan menuju ke Pekan," katanya kepada pemberita, selepas pelepasan peserta di Pasir Mas.

    

Katanya, esok peserta akan meneruskan kayuhan tanpa henti dari Pekan ke Johor Baharu melalui Rompin dan Mersing menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar di Johor Baharu sebelum memasuki Singapura melalui Kompleks CIQ Woodlands.

    

Mereka dijadual tiba di pekarangan Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura pukul 5 petang, katanya.

    

"Para peserta yang mengikuti cabaran ini dipilih daripada pelbagai kelab berbasikal di Singapura dan tiga daripada mereka sebelum ini juga pernah melengkapkan cabaran perlumbaan Paris-Brest-Paris sejauh 1,200 km selama tiga hari," katanya.

    

Zakaria berkata program TME itu bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai negara yang selamat dan baik untuk aktiviti berbasikal kerana mempunyai hubungan jalan raya yang menarik dan panjang.

- Bernama