Titah Yang di-Pertuan Agung sewaktu merasmi sesi sidang Parlimen Selasa lalu yang mahukan ulama turun padang bagi menangani masalah penyakit sosial dan keruntuhan akhlak dianggap sebagai satu penyataan rasmi mengenai peranan besar ulama dalam pembentukan sebuah masyarakat yang adil.

Ketika menegaskan demikian, Dewan Ulama PAS Pusat berkata, dalam zaman ulama memimpin dan pandangannya dihormati seperti di zaman kegemilangan Islam terutama pentadbiran Khalifah ar Rasyidin, urusan sosial dan lain-lain masalah kenegaraan terlaksana dengan baik.

"Kepincangan berlaku apabila sesebuah masyarakat mengenepikan peranan dan nasihat ulama. Umat Islam adalah peka dengan kedudukan betapa bahagialah umarak yang mendekati ulama, dan celakalah ulama yang mendekati umarak," tambahnya.

Bagaimanapun, menurut dewan tersebut, persoalannya ialah sejauh manakah ulama itu dibenarkan berperanan apabila mereka berada di tengah masyarakat.

"Ulama di Malaysia sepanjang sejarahnya memainkan peranan penting meniupkan semangat kemerdekaan seperti yang ditunjukkan oleh Syaikh Abdullah Pahim, Syaikh Tahir Jalaluddin, Tok Kenali, Dr. Burhanuddin al Hilmi, Ustaz Abu Bakar Bakir dan lain-lain.

"Malah calon tunggal PAS yang memenangi pilihanraya umum 1955 untuk Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein adalah seorang ulama," tambah kenyataan itu.

Menghukum

Malangnya, tambahnya, golongan ulama telah diketepikan oleh pengaruh golongan sekular yang menguasai tampuk pemerintah dan memfitnahkan bahawa ulama hanya tahu menghukum tetapi tidak mampu mentadbir dan membangun.

"Malah dalam meminta ulama turun padang untuk menangani keruntuhan sosial dan akhlak, kerajaan terus menghukum ulama sebagai hanya tahu menghukum sebelum ulama turun padang.

"Seruan supaya ulama turun padang adalah disebabkan masalah sosial bertambah parah dan keruntuhan akhlak dan jenayah seks menjadi-jadi dan ia tidak dapat ditangani oleh kerajaan dan oleh kekuatan polis yang ada.

"Jika ulama tidak datang membantu, dipercayai kerajaan tidak akan mampu menanganinya. Tetapi ulama tidak akan berkesan dengan dasar kerajaan yang toleransi dengan amalan mungkar.

"Dato Ishak Baharum dipecat sebagai Mufti Selangor apabila beliau mencegah penyertaan wanita Islam dari menyertai ratu cantik sekalipun beliau bertindak mengikut peruntukan undang-undang negeri itu. Beliau belum mencegah pertandingan itu pada keseluruhannya," tambah kenyataan tersebut.

Dewan tersebut juga berpendapat ulama mempunyai cara-cara bekerjanya sendiri dan mereka tidak wajar pergi bersama-sama belia dalam festival Sureheboh anjuran TV3 bagi menyeru mereka supaya membaiki akhlak.

Bertaubat

"Jika ulama pergi duduk di kelab malam dan mendekati para pelacur bagi menyedarkan anak-anak wayang jangan buat itu dan buat ini, maka ditakuti nanti bukan anak wayang yang insaf tetapi ulama pula jadi anak wayang, bukan pelacur yang bertaubat, sebaliknya ulama pula yang runtuh akhlak," tambahnya.

Dewan Ulama PAS itu juga kesal dengan anggapan bahawa ulama berpotensi menjadi anasir pengganas.

"Jika anak-anak tidak diasuh dengan pendidikan yang memungkinkan mereka menjadi ulama kerana mereka ditakuti menjadi pengganas dan mahu menggulingkan kerajaan, maka ia dengan sendirinya menghalang ulama untuk turun padang.

"Ulama turun padang dengan akhlak dan peraturan yang sesuai dengan martabatnya, mereka yang mengarah dan mereka bukan diarah, arahan dan nasihatnya mesti didengar, jika mengarahkan premis judi dan lesen judi mesti ditutup, maka polis mesti bertindak mengikut arahannya.

"Dan jika mereka nasihatkan supaya pesta-pesta hiburan menjolok mata dihentikan, maka tidak permit dikeluarkan.

"Apabila ulama turun padang, semua pihak dari Perdana Menteri, menteri-menteri, pembuat undang-undang, pelaksana undang-undang dan setiap anggota masyarakat mesti bersedia mendengar nasihatnya. Titah diraja itu wajar disambut kerana ia bertujuan untuk mendaulatkan ulama," tambahnya.