Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa Noritta Samsudin adalah seorang yang aktif dalam melakukan hubungan seks.

Menurut Bernama , Pengarah Institut Perubatan Forensik Kebangsaan Hospital Kuala Lumpur Dr Abdul Halim Mansar memberitahu demikian ketika menjawab soalan peguambela V Sithambaram selepas beliau diminta meneliti gambar kemaluan Noritta yang dirakam semasa urusan bedah siasat terhadap eksekutif pembangunan perniagaan itu.

Ditanya oleh Sithambaram sama ada berdasarkan gambar berkenaan dan keadaan sebahagian selaput dara Noritta yang telah terkoyak menunjukkan wanita itu aktif melakukan hubungan seks, Dr Abdul Halim berkata: "Ya".

Dr Abdul Halim adalah saksi ke-13 dalam perbicaraan jurutera Majlis Bandar Raya Shah Alam, Hanif Basree Abdul Rahman, 36, yang dituduh membunuh Noritta, 22, di Unit D-7-1, Kondominium Puncak Prima Galleria di Jalan 17, Sri Hartamas, di sini antara 1.30 pagi dan 4 pagi pada 5 Dis tahun lepas.

Sithambaram

: "Semalam doktor kata kemaluan Noritta kelihatan bengkak akibat hubungan seks secara kasar atau secara paksa. Mungkinkah ini kerana terlalu banyak melakukan hubungan seks?"

Dr Abdul Halim

: "Ya".

Dr Abdul Halim berkata terdapat juga kemungkinan berlakunya pencapaian kemuncak berahi secara berganda yang membawa kepada kelemasan seksual serta mengakibatkan banyak cecair bertakung dalam faraj mangsa.

Katanya, ada juga kemungkinan Noritta telah bersama lebih daripada seorang atau dua orang lain dalam biliknya yang menyebabkan dia mengalami kecederaan luaran.

Kecederaan

Sithambaram

: "Doktor bersetuju bahawa seseorang bersaiz sederhana yang melakukan hubungan seks dengan Noritta boleh menyebabkan berlakunya kecederaan luaran?"

Dr Abdul Halim

: "Ya. Saya bersetuju bahawa, contohnya, seseorang yang melakukan hubungan seks secara kasar dengan rela kadangkala boleh menyebabkan berlakunya kecederaan kecil."

Walaupun beliau bersetuju wujud keadaan yang dipanggil kelemasan seksual dalam bidang sains perubatan, tetapi Dr Abdul Halim menolak andaian Sithambaram bahawa sesiapa yang terlibat dalam permainan seks jenis ini menyumbat mulut pasangannya bagi mengurangkan bekalan oksigen untuk meningkatkan rasa berahi.

Dr Abdul Halim, yang menerangkan secara panjang lebar mengenai kelemasan seksual, berkata ia adalah suatu bentuk dorongan atau rangsangan dengan cara mengurangkan bekalan oksigen bagi mencapai rasa berahi untuk diri sediri.

"Ia mempunyai ciri dan jenis tersendiri yang selalunya dilakukan oleh lelaki terhadap diri mereka yang lazimnya diulang beberapa kali termasuk dengan menggunakan gambar lucah. Perbuatan ini selalunya dilakukan di tempat yang amat rahsia," katanya.

Sithambaram

: "Saya ingin bertanya kepada doktor, adakah doktor bersetuju dengan andaian bahawa Noritta meninggal dunia akibat kelemasan seksual?"

Dr Abdul Halim

: "Tidak bersetuju. Apa yang dapat saya katakan setelah membuat pemeriksaan terhadap tubuh Noritta ialah dia meninggal dunia akibat kelemasan seksual secara konsisten."

Ditanya sama ada kecederaan kecil yang ditemui semasa membuat pemeriksaan luaran menunjukkan pihak terbabit melakukan hubungan seks secara sukarela, pakar itu berkata: "Mungkin juga".