Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Kabinet tidak mengarahkan Kementerian Penerangan untuk mengkaji kenaikan yuran bulanan atau program yang siarkan oleh stesen televisyen satelit Astro.

"Tidak ada arahan bagi menyiasat Astro tetapi Kabinet bimbang mengenai kandungan programnya," katanya di sidang media selepas melancarkan Perhimpuan Hari Pekerja 2004 sektor awam di Intan di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut laporan Bernama , Abdullah berkata beliau hanya memaklumkan kepada Kabinet mengenai unsur keganasan dan lucah di majalah dan televisyen selepas perkara itu dibangkitkan dalam dialog beliau dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) minggu lalu.

Perdana Menteri berkata demikian bagi menjelaskan laporan akhbar hari ini yang menyebut beliau mengarah Kementerian Penerangan menyiasat keputusan Astro menaikkan yuran bulanan sebanyak RM5 serta penyiaran program berunsur negatif yang memberi kesan kepada penonton.

Hari ini, Utusan Malaysia memetik Menteri Penerangan Datuk Paduka Abdul Kadir Syeikh Fadzir sebagai berkata, proses siasatan maklumat ke atas Astro berhubung penyiaran program berunsur negatif dan kenaikan yuran bulanan RM5, adalah dibuat atas arahan Perdana Menteri.

Abdul Kadir, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Peringkat Kebangsaan semalam, berkata: "Ini merupakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, saya mesti lakukan."

Sementara itu, Abdullah berkata kenaikan yuran oleh Astro mungkin mahal dan perlu dikurangkan tetapi oleh kerana Astro sebuah saluran swasta maka terpulanglah kepada penonton untuk melanggan perkhidmatan mereka atau sebaliknya.

Memantau

Mengenai penapisan program, Abdullah, yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, berkata Lembaga Penapis perlu lebih berhati-hati dalam penapisan program yang mempunyai banyak unsur keganasan kerana ia tidak sihat kepada penonton.

"Filem perlu ditapis tetapi tidaklah sehingga filem itu tidak lagi bermakna ...jika ia tidak sesuai maka tidak perlu ditayangkan.

"Ini adalah pandangan yang dikemukakan (oleh NGO dalam pertemuan minggu lalu) dan kita menyatakan bahawa kita akan memantau tetapi tidak ada arahan untuk menyiasat," katanya.

Abdullah juga menggesa editor dari industri media supaya sensitif dengan unsur keganasan dan lucah.

"Apabila berdepan dengannya, tolong mainkan peranan anda sebagai editor dengan memahami dan sensitif terhadap perasaan orang ramai," katanya.

Katanya, jika kerajaan memberikan arahan dalam perkara ini, media tidak akan menyenanginya.

"Gunakan kebijaksanaan anda untuk menentukan apa yang baik dan apa yang tidak baik untuk tontonan awam," katanya.