Kumpulan ancam dedah hubungan pemaju-exco
Sekumpulan yang mendakwa berjuang untuk kebajikan masyarakat India mengancam untuk mendedahkan dakwaan hubungan di antara pemaju dengan anggota Exco Kerajaan Selangor yang didakwa melindungi syarikat tersebut.
Presiden Barisan Bertindak Nambikai, B Kalaivanar (kanan) mendakwa, selepas tahun 2008 apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran
negeri, rasuah berleluasa.
Beliau mendakwa pemaju tersebut terlepas daripada sebarang tindakan apabila ia melanggar undang-undang dan peraturan.
Ditemui ketika mengetuai sekumpulan penduduk Puchong membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam, Kalaivanar menjelaskan projek pemaju tersebut di Puchong telah menyebabkan kerosakan kepada rumah dan mengganggu kehidupan penduduk, tetapi tiada tindakan diambil, walaupun laporan telah dibuat berulangkali kepada MPSJ, kerajaan tempatan, selama empat tahun berturut-turut.
Beliau mendakwa kerja menanam cerucuk yang dijalankan oleh pemaju
tersebut, telah menyebabkan keretakan rumah kerana kerja pembinaan itu berjalan sepanjang hari, melebihi waktu kerja yang dibenarkan oleh peraturan, manakala pemaju menggunakan pekerja asing haram.
Empat puluh empat penduduk dari kampung yang terjejas, yang mewakili 14 daripada 27 keluarga terlibat, mengiringi Kalaivanar ke SPRM. Mereka tiba di ibu pejabat SPRM dengan menaiki sebuah bas sekolah dan berikutan itu, anggota polis yang mengawal keselamatan di kompleks tersebut yang turut menempatkan Kementerian Dalam Negeri, menghantar dua kereta peronda bersama anggota polis untuk memantau keadaan di situ.
Kumpulan itu juga mengadakan protes singkat di hadapan bangunan SPRM, dengan membawa kain rentang mengkritik MPSJ dan kerajaan negeri Selangor serta melaungkan slogan anti-Pakatan Rakyat seperti 'Undur! Undur! Pakatan!' dan 'Tipu! Tipu! Tipu Pakatan!'.
Kalaivanar berkata kedatangan mereka ke SPRM adalah untuk menamatkan empat tahun penderitaan mental dan kesusahan yang dialami penduduk, selepas laporan yang dibuat berulangkali kepada kerajaan tempatan dan kerajaan negeri serta protes yang diadakan minggu lalu di hadapan MPSJ, tidak membawa sebarang hasil.
Kalaivanar, bagaimanapun, tidak mendedahkan nama anggota exco kerajaan negeri itu mahupun nama pemaju, tetapi berkata beliau akan berbuat demikian dalam tempoh 10 hari.
[Baca berita penuh]

