Menteri kesal guru tampar pelajar sertai sambutan citrawarna
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan guru besar sebuah sekolah menengah di Pahang yang menampar lima pelajarnya kerana menyertai pelancaran Citrawarna Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur Sabtu lepas.
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa kesalnya terhadap tindakan guru besar sebuah sekolah menengah di Pahang yang menampar lima pelajarnya kerana menyertai pelancaran Citrawarna Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur Sabtu lepas.
Bernama
memetik beliau sebagai berkata ia tidak seharusnya berlaku kerana Kementerian Pelancongan telah menghantar surat kepada guru besar berkenaan melalui Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang, bagi memohon agar pelajar berkenaan dibenarkan menyertai acara tersebut."Kegiatan itu dianjurkan oleh kerajaan dan kelima-lima pelajar itu telah turut menyumbang bagi menjayakan program kerajaan itu," katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.
Akhbar
Utusan Malaysia
melaporkan hari ini bahawa lima pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Balok, Kuantan, telah ditampar oleh guru besar mereka pada perhimpunan pagi sekolah itu Isnin lalu kerana menyertai acara tarian "Joget Pahang" di acara tersebut.
Lima pelajar yang terlibat ialah Mohd Zulfahmi Zulkifli, Mohd. Alif Mohamad, Azrul Nisyam Kamaruzaman, Mohd. Firdaus Abd. Aziz dan Che Alias Che Ali.
Menurut bapa salah seorang pelajar berkenaan, Kamaruzaman Johan memberitahu, beliau diberitahu oleh pelajar-pelajar terbabit yang mereka telah diarah berdiri di atas pentas dan pengetua tersebut mengumumkan kesalahan mereka di hadapan pelajar lain.
"Tindakan pengetua itu telah menyebabkan anak saya dan rakan-rakannya yang lain berasa malu dan tertekan kerana seolah-olah kesalahan yang mereka lakukan terlalu berat,'' tambahnya.
Siasatan
Guru besar berkenaan sebelum ini didakwa tidak membenarkan kelima-lima mereka menyertai acara tersebut tetapi mereka tetap mengambil bahagian dan telah tidak hadir ke sekolah selama empat hari.
Ahmad Zahid berkata Kementerian Pelancongan akan menyiasat mengenai kejadian itu.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir pula berkata beliau belum mendapat laporan terperinci mengenai kejadian itu daripada Jabatan Pelajaran Pahang.
Bagaimanapun, katanya, mengikut peraturan, pelajar yang ingin menyertai kegiatan luar perlu mendapat kelulusan pihak sekolah terlebih dahulu.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk A Rahim Noh dilaporkan sebagai berkata, pihaknya akan menghantar seorang pegawai secepat mungkin bagi menyiasat perkara itu.
Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima aduan daripada ibu bapa para pelajar berkenaan, namun begitu jabatan tetap akan menjalankan siasatan secepat mungkin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.