800 ahli MTUC piket depan kementerian
Versi terkini Kira-kira 800 pemimpin dan ahli Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket di depan Kementerian Sumber Manusia selama 20 minit sebelum disuraikan polis.
Mereka berkumpul sepanjang 300 meter di depan pejabat kementerian itu di Jalan Bandar Damansara, Kuala Lumpur dengan menyanyikan lagu "Union Solidarity".
Mereka juga membawa kain rentang "Don't test workers' patience" (jangan cabar kesabaran pekerja), "Why deny workers rights" (kenapa nafi hak pekerja), "We want justice" (kami tuntut keadilan) dan "Enforce labour law" (kuatkuaskan undang-undang buruh).
Gabungan 52 kesatuan sekerja itu yang dipimpin oleh Presiden MTUC, Senator Datuk Zainal Rampak ( foto , kiri) dan Setiausaha Agungnya, G Rajasekaran memulakan perhimpunan itu jam 2 petang, dengan laungan "Hidup pekerja" dan "Zainal boleh."
Dua pemimpin itu kemudiannya menyerahkan memorandum dua halaman kepada Ketua Setiausaha kementerian, Syed Mohamad Syed Abdul Kadir, selepas gagal menemui menteri berkenaan, Datuk Dr Fong Chan Onn.
Memorandum itu membangkitkan tiga perkara utama: menyelesaikan lebih 4,000 kes pembuangan pekerja, hak menubuhkan kesatuan dan menyelesaikan pertikaian perjanjian bersama.
Menurut Zainal, sebahagian kes pembuangan itu sudah berlarutan lebih 10 tahun tanpa penyelesaian.
Halal-haram piket
"Sekurang-kurangnya 52 kesatuan menyatakan rasa tidak berpuas hati. Terdapat 85 kes buang kerja sejak 1998, 57 kes sejak 1999 dan 32 kes lagi sejak awal tahun ini," katanya.
Beliau menegaskan MTUC berpiket hari ini sebagai menunjukkan perasaan dan tidak harus dilihat cuba bermusuh dengan kementerian.
Kementerian mempunyai pandangan tersendiri tentang sama ada piket itu mengikut undang-undang, sementara kongres mempunyai pandangannya juga, tambahnya.
"Cakap, cakap, cakap, cakap sahaja, tak ada tindakan. Selain menteri, majikan juga tidak memberikan kerjasama. Tak pernah!" kata Zainal lagi.
Fong sebelum ini berkata piket MTUC itu tidak mengikut undang-undang kerana kongres itu berdaftar dengan Akta Pertubuhan dan tidak boleh terlibat dengan kegiatan seumpama itu.
MTUC bagaimanapun menegaskan piket itu berdasarkan peraturan kerana badan itu berdaftar dengan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang membenarkan kegiatan tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.