Shahrir: Calon naib presiden lepas jawatan Kabinet jika tewas
Calon naib presiden Umno yang mempunyai jawatan dalam kabinet tetapi kalah dalam pertandingan parti, perlu meletakkan jawatan, kata Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Datuk Abdul Shahrir Samad.
Calon naib presiden Umno yang mempunyai jawatan dalam kabinet tetapi kalah dalam pertandingan parti, perlu meletakkan jawatan, kata Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Datuk Abdul Shahrir Samad.
Bernama
"Orang yang ada jawatan berada dalam comfort zone kerana jika kalah pun mereka masih ada jawatan dalam kabinet. Mereka tahu hanya Perdana Menteri yang menentukan kedudukan mereka dalam kabinet... mereka tiada risiko," katanya
Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu berkata, beliau belum membuat keputusan sama ada bertanding merebut jawatan naib presiden tetapi mengakui jika cadangannya itu diterima, orang sepertinya yang tidak mempunyai sebarang jawatan dalam kabinet, mempunyai kelebihan berbanding mereka yang berjawatan.
"Saya tiada jawatan apa-apa jadi saya tidak perlu takut," katanya di majlis perasmian persidangan tahunan berkelompok cawangan-cawangan Pemuda Umno Bahagian Johor Baharu di Johor Bahru semalam.
Akar umbi
Menurut Shahrir, mereka yang menawarkan diri untuk jawatan naib presiden perlu melihat sokongan daripada akar umbi Umno di seluruh negara dan bukan hanya daripada bahagian atau negeri asal mereka sahaja.
"Untuk mereka yang tawarkan diri, perlu tunggu dulu pandangan dari akar umbi tentang siapa yang mereka mahu bagi jawatan seperti naib presiden.
"Semuanya itu yang menentukan keadaan, keputusan itu (jawatan naib presiden) perlu dibuat oleh akar umbi dan bukan oleh orang yang berhajat," kata Shahrir.
Jika beliau membuat keputusan untuk bertanding naib presiden katanya, sokongan yang diterimanya dari ahli Umno mestilah meluas dan bukan hanya dari bahagian Johor Baharu atau mana-mana bahagian di Johor sahaja.
"Sebelum bertanding perlulah selidik sama ada mendapat sokongan atau tidak, kalau sekadar nak tawarkan diri itu bukan cara saya. Saya bukan kejarkan jawatan," kata ahli politik veteran itu.
Pada majlis itu, Shahrir turut melancarkan "Tabung Adik Muhammad Isyraf Ibrahim " yang cacat pendengaran. Beliau memerlukan RM80,000 bagi menjalani pembedahan untuk membetulkan alat pendengarannya.

