Pemuda Keadilan gesa perlantikan Khalil ditangguhkan
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat menggesa supaya perlantikan Tan Sri Khalil Yaakob sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang baru ditangguhkan sehingga siasatan salahguna kuasa terhadapnya diselesaikan.
Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat menggesa supaya perlantikan Tan Sri Khalil Yaakob sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang baru ditangguhkan sehingga siasatan salahguna kuasa terhadapnya diselesaikan.
Ketuanya, Ezam Mohd Nor berkata, Khalil seharusnya mempunyai tanggungjawab moral untuk menolak perlantikan tersebut sehingga siasatan terhadap beliau selesai.
Katanya, angkatan tersebut memandang serius perlantikan Khalil kerana "pemilihan beliau menjadi satu duluan (precedent) yang amat buruk kepada negara'.
Khalil dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka keenam menggantikan Tun Syed Ahmad Shahabuddin berkuat kuasa Jumaat ini.
"Seorang Yang Dipertuan Negeri seharusnya dilantik dari kalangan tokoh yang mempunyai rekod yang cemerlang dan bersih daripada sebarang kemungkinan penglibatan dengan jenayah.
"Khalil ternyata tidak menepati kriteria ini kerana nama beliau tidak pernah dibersihkan daripada dakwaan melakukan rasuah dan salahguna kuasa ketika menjadi Menteri Besar Pahang," kata Ezam dalam satu kenyataan semalam.
Skandal balak
Pada awal tahun 2000, Datuk Fauzi Abdul Rahman telah membuat laporan polis terhadap Khalil berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan kawasan balak bernilai lebih RM2 bilion di Pahang.
Khalil telah dituduh mengagihkan kawasan balak tanpa mengikut kuota yang ditetapkan Dasar Perhutanan Negara ketika menjawat menteri besar pahang antara 1986 hingga 1999.
Satu siasatan dalaman Umno telah dijalankan terhadap Khalil tiga tahun lalu, tetapi sehingga ini belum diketahui hasilnya.
Manakala
malaysiakini
juga telah
melaporkan
mengenai skandal pembalakan tersebut pada bulan Julai dan Ogos tahun lalu yang membabitkan kawasan seluas 10,000 ekar atau kira-kira 40 km persegi,dekat Pekan.
Ia dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada Umno Pahang pada tahun 1998 sewaktu Khalil menjadi menteri besar, kononnya untuk diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.
"Namun sehingga kini, tidak ada pengumuman dibuat mengenai status kedua-dua siasatan itu. Pada masa yang sama, status siasatan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga tidak jelas.
"Tindakan pihak polis dan BPR berdiam diri ternyata tidak menjaga kepentingan rakyat yang mempunyai hak untuk tahu mengenai siasatan terhadap tokoh berprofil tinggi seperti Khalil," tambah Ezam.
Memalukan rakyat
Oleh itu, beliau menyeru agar perlantikan Khalil ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga siasatan terhadap beliau berhubung dakwaan Fauzi itu diselesaikan dan nama beliau dibersihkan.
"Angkatan Muda Keadilan bimbang langkah perlantikan ini bukan sekadar sebagai habuan politik, malah akan menjadi pelindung kepada Khalil daripada tindakan undang-undang dengan menggunakan kedudukan dan kekebalan Yang DiPertuan Negeri," tambahnya.
Menurut Ezam lagi, perlantikan ini ternyata menimbulkan kontroversi yang bukan sahaja akan memburukkan nama baik institusi Yang Dipertuan Negeri Melaka dan memalukan rakyat negeri berkenaan.
Malah, katanya, ia akan menjejaskan dengan teruk usaha untuk mengukuhkan penanggungjawaban dan integriti yang diwar-warkan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Perlantikan ini sahaja cukup menjadi bukti bahawa pengumuman-pengumuman mengenai ketelusan dan kempen integriti yang diumumkan, hanya slogan-sloganan semata-mata dan tindakan untuk meraih keuntungan politik," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.