Tabung Haji telah mengambil tindakan untuk menghentikan pelaburan tidak langsungnya dalam syarikat Pan Sweep Malaysia yang terbabit dalam perniagaan perjudian lumba kuda, kata Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Kenyataanya itu, semasa sesi penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat semalam mengesahkan dakwaan bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian PAS Husam Musa mengenai perkara tersebut Januari lalu.

Husam, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, mendakwa Tabung Haji melalui syarikat Country Heights secara tidak langsung memiliki 30 peratus saham dalam Pan Sweep Malaysia.

Tabung Haji memiliki 1.45 peratus atau 4 juta saham dalam Country Heights. Country Heights juga dikatakan mula menikmati dividen judi lumba kuda sejak 2000.

Namun demikian, Mashitah berkata sewaktu Tabung Haji mula melabur dalam Country Heights, aktiviti yang dilakukan syarikat berkenaan adalah "halal" dan tidak sama sekali terlibat secara langsung dalam perjudian.

Katanya, sebaik saja Tabung Haji mengetahui pelaburan tidak langsung dalam perjudian lumba kuda itu, beberapa tindakan telah diambil, termasuk menghubungi Country Heights.

"Susulannya, Country Heights telah menandatangani perjanjian jual-beli pada 5 Mac 2004 bagi melupuskan pegangan Country Heights dalam aktiviti perjudian lumba kuda," kata Dr Mashitah.

Jual pegangan

Sungguhpun demikian, beliau memberitahu Dewan bahawa Tabung Haji tetap mengambil keputusan tegas "akan tetap menjual keseluruhan pegangan dalam Country Heights".

Keputusan menjual saham Country Heights akan menurut garispanduan yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Syariah dan Suruhanjaya Sekuriti, katanya.

Mashitah, yang juga merupakan Ahli Parlimen Baling, menjelaskan pada masa kini, harga pasaran semasa Country Heights adalah lebih rendah daripada harga kos pegangan.

"Ini akan mengakibatkan Tabung Haji akan mengalami kerugian sekiranya Tabung Haji menjual saham Country Heights sekarang. Oleh itu Tabung Haji akan menjual saham tersebut bila tiba masanya," tambahnya.

Isu pelaburan tidak langsung Tabung Haji dalam aktiviti perjudian lumba kuda itu telah dipertikaikan lagi oleh Haji Abdul Fatah Haji Harun (PAS-Rantau Panjang) dan Datuk Haji Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) dalam perbahasan mereka minggu lalu.

"Semoga dengan penjelasan ini, semua pelabur Tabung Haji yang semakin hari semakin bertambah dan sekarang mencecah jumlah 4.7 juta akan merasa tenang dengan ketelusan dan keikhlasan kepimpinan BN yang senantiasa prihatin soal amanah Tabung Haji ini dan tidak terkeliru dengan cubaan pihak tertentu memburukkan nama Tabung Haji dan seterusnya kerajaan BN," kata Mashitah.