Pelik bila syarikat tembakau taja kempen anti-merokok
Sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), mempersoalkan tujuan sebenar di sebalik kesediaan dua buah syarikat gergasi termbakau menaja kempen anti-merokok yang dilancarkan oleh sebuah kelab belia di negara ini.
Sebuah badan bukan kerajaan, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), mempersoalkan tujuan sebenar di sebalik kesediaan dua buah syarikat gergasi termbakau menaja kempen anti-merokok yang dilancarkan oleh sebuah kelab belia di negara ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun kempen tersebut bertujuan murni dan kena pada masanya, tetapi menjadi 'cacat' dengan penajaan dua syarikat rokok berkenaan.
Beliau mengulas aktiviti Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) melancarkan "Kempen Media Untuk Mencegah Remaja Daripada Merokok" pada 11 Jun di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, dua syarikat gergasi tembakau - British American Tobacco Malaysia Berhad (BATM) dan JT International Berhad - menjadi penaja kepada kempen tersebut.
"Telah sedia maklum di mana-mana negara, apabila syarikat tembakau menghadapi tekanan oleh kempen-kempen sebegini, mereka akan melakukan pelbagai cara untuk memulihkan imej mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Antaranya ialah dengan menyumbang dana untuk kempen tersebut sekaligus cuba menunjukkan yang mereka juga ingin mencegah tabiat merokok," tambahnya.
Tawaran
Bagaimanapun, Mohd Azmi mendakwa, syarikat-syarikat tembakau terbabit sebenarnya cuba "memperbodohkan" pihak penganjur apabila memberi tawaran sedemikian.
"Apabila terlibat sama dengan kempen tersebut, mereka akan dilihat sebagai sebagai sebuah syarikat yang prihatin dengan masalah ini dan akhirnya akan meminimakan kesan kempen tersebut," tambahnya.
Menurutnya, seandainya syarikat tembakau berkenaan benar-benar prihatin dan ingin mencegah golongan belia daripada mereka, mereka seharusnya menghentikan semua bentuk pengiklanan dan promosi mereka.
"Amat pelik apabila syarikat yang seharusnya menjual rokok, terlibat dengan kempen anti merokok ini," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Teras menyeru agar semua badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan supaya jangan terpedaya dengan tindak-tanduk syarikat terbabit walau setinggi manapun tawaran yang dibuat.

