JPJ nafi kompaun dinaikkan kepada RM2,000
Diterbitkan: Jun 26, 2012 3:42 PM | Dikemas kini: Jun 27, 2012 6:22 PM
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan bahawa kompaun untuk tiga kesalahan trafik akan dinaikkan dari RM300 kepada RM2,000 di bawah pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Cadangan kenaikan itu, kata Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Ismail Ahmad, hanya terpakai jika kes dibawa ke mahkamah di mana hakim mempunyai budibicara untuk mengenakan denda maksimum yang disemak semula sebanyak RM2,000.
Tetapi bagi saman biasa atau kompaun yang dikeluarkan kepada pesalah trafik, tiada perubahan dan ia masih RM300, katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Menurutnya lagi, di bawah pindaan itu, sistem akan ditambahbaik di mana denda yang yang dikompaunkan akan menjadi kurang sekiranya pesalah membuat pembayaran awal.

