Abim: Pertandingan melalui SMS berunsur perjudian
Umat Islam di negara ini diingatkan bahawa pertandingan berbentuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbayar dikhuatiri berunsurkan perjudian yang diharamkan di sisi Islam.
Umat Islam di negara ini diingatkan bahawa pertandingan berbentuk Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berbayar dikhuatiri berunsurkan perjudian yang diharamkan di sisi Islam.
Sehubungan itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata penganjuran dan keuntungan yang diperolehi oleh penganjur dan hadiah yang dimenangi peserta juga adalah haram di sisi agama.
Oleh itu, naib presiden Abim, Yusri Mohamad, menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengkaji segera perkara tersebut dan memberi penjelasan sebenarnya kepada masyarakat.
"Penggunaan teknologi yang membantu proses kehidupan adalah suatu yang dituntut di dalam Islam dan amat besar manfaatnya kepada masyarakat.
"Namun demikian, sewajarnya teknologi tersebut digunakan sebaiknya untuk kepentingan masyarat dengan dipandu oleh nilai-nilai mulia agama dan norma masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yusri, akhir-akhir ini pelbagai pihak dan syarikat begitu rancak menganjurkan pertandingan melalui SMS yang mendapat sambutan hebat daripada masyarakat.
Katanya, sebuah akhbar melaporkan baru-baru ini mengenai seorang peserta pertandingan melalui SMS yang mengakui telah melaburkan sebanyak RM20,000 sebagai kos SMS dan setakat ini telah memenangi hadiah sebanyak RM10,000.
"Dalam kemeriahan suasana pertandingan seumpama ini, soal unsur perjudian dan kos tinggi yang ditanggung oleh peserta mudah terlepas dari perhatian umum. Abim berpandangan pertandingan SMS berbayar ini banyak membawa kemudaratan kepada peserta," katanya.
Hukum syarak
Menurutnya, umum mengetahui permainan 'loteri' atau 'nombor ekor' adalah haram di sisi Islam dan ianya adalah satu perjudian.
"Bezanya antara loteri dan sesetengah pertandingan melalui SMS hanyalah di dalam bentuk tiket yang dibeli. Bagi loteri, tiketnya diberi secara tunai dan bagi perjudian SMS pula melalui cajnya.
"Kedua-duanya melibatkan wang hadiah yang dikumpulkan dari pertaruhan peserta. Ini adalah unsur utama perjudian yang diharamkan. Beberapa kajian yang dibuat dari sudut syarak berkaitan dengan ini menyokong kuat kesimpulan ini," tambahnya.
Dari sudut lain, kata Yusri, peraduan seumpama ini akan mengakibatkan kerugian wang ringgit, masa dan tenaga yang bukan sebarangan di pihak peserta dari khalayak ramai.
Menurutnya lagi, keuntungan dan manfaat material yang diperolehi oleh segelintir kecil peserta tidak dapat dibandingkan dengan kerugian dan kehampaan majoriti peserta yang gagal.
"Inilah senario biasa dalam mana-mana perjudian. Tidak mustahil, ramai juga peserta yang begitu asyik mengambil bahagian sehingga sampai ke tahap ketagihan.
Ia juga akan menggalakkan budaya mencari jalan pintas mencari kekayaan daripada berusaha bersungguh-sungguh mengikut saluran yang sepatutnya," tambahnya.
Oleh itu, katanya, Abim mengesyorkan semua pihak yang terbabit dalam pertandingan seumpama itu agar segera menilai kembali pembabitan masing-masing dari neraca hukum agama serta nilai-nilai kemasyarakatan yang mulia," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.