Darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan hanya diberikan kepada calon-calon yang didapati 'bersih' oleh jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, kata Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Johari Baharum hari ini.

Bernama

memetik beliau berkata, selain memastikan calon-calon itu berakhlak baik, bermoral tinggi dan bersih daripada melakukan jenayah, nama mereka dirujuk untuk tapisan oleh Badan Pencegah Rasuah dan polis.

"Mereka yang lulus dalam tapisan ini sahaja yang akan ditawarkan untuk menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan berhubung penjualan bintang kebesaran seperti Datuk, yang melibatkan sindiket dan orang perseorangan.

Menurut Johari, pihak urusetia Jabatan Perdana Menteri sentiasa memastikan hanya pencalonan yang tulen dan layak, diproses.

Di samping itu, katanya, pencalonan itu juga perlu disokong balas oleh menteri, menteri besar, ketua setiausaha kementerian atau setiausaha kerajaan negeri mengikut syarat yang ditetapkan bagi kategori darjah-darjah kebesaran berkenaan.

Sumbangan

Bagaimanapun, katanya, jika ada pihak yang mengetahui ada berlaku perkara seperti yang dibangkitkan, mereka bolehlah membuat laporan polis dan ianya akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, pencalonan untuk darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan yang melibatkan persatuan dan parti-parti politik, dibuat melalui borang pencalonan khas yang dikeluarkan oleh JPM, lengkap dengan butiran peribadi serta jasa dan sumbangan calon kepada perkhidmatan awam, persatuan, masyarakat dan lain-lain.

Selepas itu, katanya, borang tersebut akan ditapis oleh sebuah jawatankuasa di JPM sebelum diperakukan kepada Jawatankuasa Tetap Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Selanjutnya senarai calon-calon yang dipersetujui oleh jawatankuasa tersebut akan dibawa untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kemudian, bercakap di sidang media di ruang legar Parlimen, Johari berkata, penganugerahan bagi darjah kebesaran, bintang dan pingat peringkat negeri adalah di bawah tanggungjawab negeri-negeri setelah mendapat perkenan Sultan, Raja atau Yang Dipertuan Negeri.

Johari berkata, bagi peringkat persekutuan, tindakan menarik balik darjah kebesaran, bintang dan pingat itu hanya dibuat setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Kongsi gelap

Terdapat kes di peringkat negeri apabila Sultan menarik balik darjah kebesaran yang diberikan setelah mendapati penerima terlibat dengan kegiatan jenayah, katanya.

"Bagaimanapun kesnya kecil," kata Johari.

Menurutnya lagi, tiada kes yang dilaporkan mengenai anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat yang dibeli kecuali satu kes mahkamah yang sedang dibicarakan di Teluk Intan.

"Kes itu bagaimanapun hanya melibatkan pihak kedua dan ketiga yang berjanji untuk memberikan darjah kebesaran," katanya.

Manakala kriteria anugerah kepada tokoh korporat yang membawa gelaran Tan Sri dibuat berdasarkan sumbangan kepada pembangunan masyarakat, terutama golongan kurang upaya dan kurang kemampuan serta terhadap pembangunan negara.

Pada 26 Mac lalu, , seorang lelaki bergelar "Datuk" disyaki ketua kumpulan penjenayah, diberkas di ibu negara kerana penglibatannya dalam pelbagai kesalahan.

Lelaki itu menerima gelaran 'Datuk' dari negeri Pahang dan dilantik Jaksa Pendamai oleh negeri Terengganu.

Sebelum itu, Tan Hock Low yang ditembak mati di Restoran Sakura, Jalan Imbi, pernah bergelar 'Datuk' tetapi ia ditarik balik oleh Sultan Selangor kerana terlibat dalam kegiatan perjudian dan kongsi gelap.