Tindakan kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd menyuntik RM125 juta tunai ke dalam East Vision Leisure Group bukan satu usaha untuk menyelamatkan Country Heights Holdings Bhd (CHHB), tetapi merupakan satu pelaburan berdasarkan kepada harga pasaran semasa.

"Kerajaan tidak bail out Country Heights Holdings Bhd, tetapi hanya melabur dalam tiga anak syarikatnya iaitu Mines Shopping Fair Sdn Bhd, Mines International Exhibition Centre Sdn Bhd dan Mines Water Front Business Park Sdn Bhd," kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sebelum ini, CHHB telah menandatangani perjanjian dengan Khazanah Nasional membabitkan pemindahan aset harta CHHB dalam Mines kepada syarikat tujuan khas, East Vision Leisure Group Sdn Bhd.

Pada awal tahun ini, CHHB melakukan pengstrukturan semula yang menyaksikan bahagian pembangunan hartanya disenaraikan di Bursa Malaysia manakala tanggungan hutannya berkurangan sebanyak 67 peratus, daripada RM1.2 juta kepada kira-kira RM400 juta dalam tempoh enam bulan.

Sebelum ini, bekas ahli Parlimen PAS dari Kubang Krian Husam Musa pernah mengkritik pembelian tersebut yang menurutnya diatur untuk membolehkan CHHB keluar dari masalah kewangannya ekoran jumlah hutang yang besar.

Menurutnya, harga yang dikenakan oleh CHHB bagi ketiga-tiga harta tersebut amat meragukan kerana mendakwa ianya tidak sepadan dengan nilai sebenarnya.

Jaminan

"Keadaan menjadi lebih meragukan memandangkan pengerusi Country Heights ialah ipar Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Tan Seri Hashim Mohd Ali," kata Husam dalam bukunya bertajuk Menilai Kewibawaan Abdullah: Skandal Country Height .

Menurut Husam, secara rasmi, perjanjian penyelamatan itu ditandatangani oleh Kementerian Kewangan dengan CHHB pada 16 Disember 2004, iaitu 46 hari selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Malah, Husam turut mendakwa perlantikan Nor Mohamed selaku Menteri Kewangan dalam kabinet Abdullah pasti menjamin rancangan yang telah diatur oleh pihak tertentu sebelum ini terus terlakasana, termasuk urusan berkenaan.

Sementara itu, Nor Mohamed dipetik Bernama sebagai berkata tindakan itu diyakini dapat memberi pulangan yang munasabah setelah kajian penilaian mengenai aset-aset Country Heights Holdings dijalankan oleh kerajaan sebelum melabur dalam syarikat itu.

Nor Mohamed berkata kerajaan memang sedar mengenai kerugian yang dialami oleh Country Heights Holdings dan kerana itu kerajaan hanya membeli bon-bon terhadap beberapa asetnya yang untung.

Malah pelaburan yang lebih besar yang dibuat oleh pihak bank membuktikan projek itu "berdaya maju", katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) untuk pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Disatukan RM7.6 bilion untuk perkhidmatan bagi tahun ini.

Pinjaman saham

Selain dari pelaburan kerajaan itu, tiga bank iaitu AmMerchant Bank Bhd, RHB Bank Bhd dan Bumiputra Commerce Bhd Bhd akan melaburkan sejumlah RM295 juta dalam East Vision.

Sebagai ganjaran kepada pelaburan mereka, East Vision akan menerbitkan RM420 juta dengan enam peratus bagi tujuh tahun pinjaman saham bercagar boleh tebus kepada Khazanah dan tiga peminjam berkenaan.

Bank-bank itu juga akan menerbitkan tambahan RM68.82 juta dalam pinjaman saham boleh tukar boleh tebus.

Khazanah juga akan menerbitkan saham istimewa dalam East Vision, yang akan memberikan cabang pelaburan kerajaan itu sejumlah hak dan keistimewaan seperti pelantikan dan pelucutan kakitangan atasan.

Leisure Group adalah perantara kegunaan khas yang diwujudkan oleh Country Heights Holdings dalam usaha mengurangkan masalah hutangnya yang besar.

Di bawah rancangan ini, Country Heights akan memindahkan hartanahnya iaitu Mines Shopping Fair Sdn Bhd, Mines Waterfront Busines Park Sdn Bhd and Mines International Exhibition and Convention Centre Sdn Bhd kepada East Vision untuk balasan sebanyak RM655 juta.