Kit Siang nafi hubungan dengan Lee Kuan Yew
Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini menafikan dakwaan Utusan Malaysia bahawa beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar kepada bekas perdana menteri Singapura Lim Kuan Yew.
Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Lim menyifatkan dakwaan itu sebagai satu pembohongan dan beliau tidak pernah terlibat dengan parti PAP ketika beliau menjadi wartawan di Singapura pada awal 1960-an.
Lim bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau pernah bekerja "untuk satu tempoh" di bahagian akhbar di Kementerian Kebudayaan Singapura dan pernah menjadi setiausaha agung kesatuan wartawan negara itu.
Beliau mengulas tulisan di pojok pengarang akhbar edisi hujung minggu Utusan Malaysia hari ini.
Dalam tulisan Awang Selamat – dipercayai sebagai kakitangan kanan dalam redaksi Utusan – akhbar itu mendakwa bahawa Singapura menggunakan DAP sebagai proksi untuk mencapai cita-citanya untuk Semenanjung Malaysia.
Tanpa menjelaskan dakwaan itu, Awang Selamat seterusnya mendakwa Lee bercita-cita untuk membina hubungan dengan kerajaan Pulau Pinang selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri itu.
Lim berkata, serangan ke atasnya hari ini merupakan kesan daripada kempen yang ditingkatkan untuk memburuk-burukkan DAP dan Pakatan kerana Umno tidak yakin untuk berdepan dengan pilihan raya umum.

