PGSM : Isu sijil peguam syarie P Pinang selesai
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah dimaklumkan oleh beberapa orang peguam Syarie Pulau Pinang bahawa mereka telah menerima Sijil peguam syarie yang diperbaharui bagi tahun 2012.
"PGSM dengan ini mengucapkan syabas dan tahniah atas tindakan segera kerajaan negeri Pulau Pinang yang berjaya menyelesaikan masalah tersebut dalam waktu yang singkat," kata presiden PGSM, Musa Awang.
Beliau merujuk kepada isu kelewatan pengeluaran sijil peguam syarie Pulau Pinang, yang ditimbulkan sebelum ini, membabitkan lebih 300 peguam syarie di negeri itu yang dilaporkan tidak menerima sijil mereka yang telah diperbaharui.
"PGSM berharap agar perkara seperti ini tidak berulang lagi pada masa akan datang, demi kepentingan dan kebajikan masyarakat Islam di Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan.
"Maka, PGSM dengan ini menganggap bahawa isu ini telah selesai," tambah Musa.

