Malaysia kini menjadi semakin popular apabila jenama francais asing berminat mengembangkan jenama mereka di Malaysia kerana suasana persekitaran mesra perniagaan serta dasar-dasar yang menggalakkan perkembangan industri itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, 240 jenama francais asing dari 29 negara berdaftar di Malaysia.

Katanya pengembangan jenama francais asing itu sejajar dengan matlamat Pelan Induk Francais untuk membangunkan Malaysia sebagai hab francais bagi Asia Tenggara menjelang 2020.

"Kerajaan mengalu-alukan kedatangan jenama francais asing ke Malaysia, bukan hanya sebagai pasaran untuk mengembangkan jenama produk atau perkhidmatan mereka.

"Malah, ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk syarikat asing berkenaan menubuhkan pusat serantau di Malaysia bagi memasarkan produk atau perkhidmatan mereka ke negara lain di rantau ini," katanya ketika berucap merasmikan pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM 2012) di Kuala Lumpur.

Sehingga kini, 46 francaisor tempatan berjaya mengembangkan jenama francais mereka di 50 negara membabitkan pembukaan 1,413 cawangan, berbanding hanya 29 francaisor di 49 negara pada 2010, katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata kerajaan juga menggalakkan francaisor untuk mewujudkan lebih banyak pakej perniagaan inovatif terutama berkonsepkan francais mikro bagi menyediakan peluang perniagaan kepada masyarakat.

Katanya kerajaan turut mewujudkan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) dengan peruntukan RM8 juta sebagai kemudahan pinjaman mikro kepada bakal francaisi yang ingin menceburi francais mikro.

Beliau berkata pindaan ke atas Akta Francais 1998 yang dibentangkan di Parlimen 28 Jun lalu memastikan perundangan industri francais kukuh dan selari dengan kehendak semasa.

- Bernama