Menteri: Taman rimba tak libatkan tanah kubur
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata pembangunan Taman Rimba Bukit Kerinchi di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, di Kuala Lumpur tidak dibuat di tanah kubur.
Beliau berkata taman rimba seluas 66.15 hektar itu merupakan kawasan bukit yang dirizab sebagai kawasan hijau milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Memang ada tanah perkuburan milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan berdekatan taman rimba ini, namun pembangunan taman ini tidak melibatkan kawasan kubur itu.
"Jadi soal kami ambil tanah kubur tidak timbul, sebaliknya tanah kubur itu tetap ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan taman rimba itu semalam.
Menurutnya, dakwaan itu hanya dibuat pihak tertentu untuk menidakkan usaha kerajaan dalam mengekalkan kawasan hijau di sekitar Kuala Lumpur.
"Sebelum ini, ada dakwaan kerajaan Barisan Nasional beri kawasan hijau kepada pihak swasta untuk bina bangunan atau melaksanakan projek pembangunan, padahal kami merizabkan tanah (tertentu) untuk mengekalkan kehijauan," katanya.
Mengenai taman rimba itu, Raja Nong Chik berkata ia bertujuan menyediakan lebih banyak kawasan hijau kepada warga kota untuk beriadah.
Taman Rimba Bukit Kerinchi diliputi hutan sekunder dan merupakan bekas ladang getah yang tidak lagi diusahakan.
Ia dibangunkan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula Julai 2011 dan siap sepenuhnya pada Jun 2012 melibatkan kawasan seluas 0.4 hektar. Fasa kedua dan ketiga akan bermula 2013.
Dalam pada itu, Raja Nong Chik berkata 67 peratus penjaja dan peniaga Pasar Raja Bot yang lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit bersetuju dengan pelan pembangunan semula pasar itu dan kawasan sekitarnya.
Mula beroperasi pada 1955, pasar itu menempatkan lebih 1,500 peniaga pelbagai keperluan harian termasuk barangan basah dan kering seperti sayur, buah-buahan, pelbagai jenis daging selain menjual pakaian dan makanan.
- Bernama

