Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad berkata beliau sedang meneliti cadangan supaya beliau bertanding bagi jawatan naib presiden dalam pemilihan parti 23 September depan.

Menurut Bernama , cadangan meminta Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bertanding jawatan tersebut dibuat oleh ketua pergerakan Pemuda Umno Kelantan Mohd Rujhan Salleh.

Menurut Mohd Rujhan, sudah tiba masanya bagi pemimpin tertinggi negeri itu bertanding merebut jawatan naib presiden terutama dengan pencapaian yang menggalakan dalam pilihanraya umum lalu.

Dalam pilihanraya umum lepas, BN memenangi 21 daripada 45 kerusi dewan undangan negeri di Kelantan.

Setakat ini, seorang pemimpin Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim yang juga timbalan pengerusi Umno Kelanta, sudahpuh menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan tersebut.

Malah, Zaid sudahpun membuat persiapan awal bagi merebut jawatan tersebut dengan mengedarkan VCD yang menerangkan sebab mengapa beliau menawarkan diri untuk jawatan tersebut.

Antara kandungan VCD tersebut menyebutkan perlunya ahli Umno memilih pemimpin yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan untuk menjawat jawatan penting dalam parti.

Jawatankuasa pemantau

Untuk layak bertanding jawatan naib presiden, seseorang calon itu perlu memperolehi sekurang-kurangnya 10 peratus atau 20 pencalonan daripada 198 bahagian Umno yang mula bermesyuarat bulan depan.

Sementara itu, ketika bercakap kepada media di Parlimen hari ini, Mustapa menasihatkan ahli Umno Kelantan supaya menyalurkan masalah atau isu, terutama mengenai mesyuarat cawangan dan bahagian, kepada Jawatankuasa Pemantau yang ditubuhkan, daripada menghebahkannya kepada umum.

Katanya, jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Harun Hassan serta 10 lagi anggota veteran dan berpengalaman dalam parti itu dipertanggungjawabkan untuk mengatasi sebarang masalah yang timbul mengenai parti.

"Jika terdapat sebarang masalah, rujuk kepada jawatankuasa pemantau dan tidak perlu dihebahkan pada umum kerana parti itu mempunyai peraturan yang telah ditentukan dalam menangani sesuatu masalah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Zaid bahawa Umno Kelantan menerima banyak aduan daripada ketua cawangan yang mendakwa diugut supaya memilih atau menolak calon tertentu dalam pemilihan kali ini.

Mustapa berkata beliau telah membincang perkara itu dengan Zaid, dan tidak menafikan terdapat sedikit masalah yang timbul, tetapi ianya "bukan masalah yang luar biasa".

Katanya jika masalah itu tidak dapat diselesaikan oleh jawatankuasa pemantau, ianya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Umno untuk tindakan lanjut.

Kawal perasaan

Beliau turut menasihati ahli Umno Kelantan supaya "berhati-hati" dalam mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai parti bagi memastikan mesyuarat cawangan dan bahagian dapat berjalan dengan lancar.

Selain itu, beliau turut menasihati "ahli Umno Kelantan supaya bermesyuarat dengan objektif dan tidak emosi, dengan mampu mengawal perasaan. Dan tidak terlalu ghairah untuk merebut jawatan hingga menggunakan taktik boleh menyentuh perasaan orang lain," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sama ada Umno bahagian Pekan dan Kepala Batas pimpinan masing-masing, perlu membuat pencalonan bagi jawatan naib presiden serta ahli MT.

Naib presiden Umno itu yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden berkata bahagiannya belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Saya perlu berbincang dengan pemangku presiden terlebih dahulu," katanya ketika diminta mengulas cadangan sesetengah pihak supaya kedua-dua bahagian itu tidak membuat pencalonan tersebut.

Beliau berkata cadangan itu bertujuan mengelakkan pencalonan kedua-dua bahagian itu mempengaruhi keputusan pemilihan jawatan-jawatan tersebut atau membuat sesetengah pemimpin berkecil hati.

Secara tradisinya, Najib berkata ada masanya bahagian yang dipimpin oleh pemimpin nombor satu dan dua Umno membuat pencalonan dan ada masanya pula tidak.