Sebanyak 43 sekolah di Perak dikenal pasti berisiko tinggi kerana terdapat pelajarnya yang berbabit dalam kegiatan buli, bergaduh, peras ugut, kongsi gelap dan kesalahan berkaitan dadah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia dan Multimedia, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata sekolah yang ada kegiatan mengedar cakera padat video (VCD) lucah, mencabul kehormatan dan berhampiran dengan kawasan yang boleh menjerumuskan pelajar ke arah kegiatan seperti itu, juga dianggap berisiko tinggi.

Bernama

memetik beliau memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri Perak hari ini yang kebanyakan sekolah terbabit terletak di Lembah Kinta. Terdapat 207 sekolah menengah, termasuk berasrama penuh, dan 845 sekolah rendah di Perak.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan M Ramachandran (BN-Pasir Panjang), Zambry berkata keadaan masih terkawal dan belum mencapai tahap yang serius.

"Walaupun belum serius, kita telah mengambil banyak tindakan untuk menangani masalah ini. Kita tidak mahu bertindak apabila sesuatu masalah itu mencapai tahap serius," katanya.

Antara langkah tersebut, katanya, ialah memantapkan sistem mentor-mentee dan pembimbing rakan sebaya yang sedia ada di sekolah dan meningkatkan keberkesanan pengurusan hal ehwal murid dalam semua aspek.

Laporan polis

Menurutnya lagi, semua pengetua dan guru besar diminta menyiasat mengenai pembabitan murid dalam semua bentuk budaya negatif dan mengenakan hukuman mengikut prosedur yang ditetapkan.

Sekolah yang mempunyai asrama juga, katanya, telah diminta membuat pemeriksaan mengejut dan pemeriksaan harian pada waktu pagi serta malam manakala salah laku berbentuk jenayah hendaklah dilaporkan kepada polis.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula memberitahu sidang dewan negeri bahawa kerajaan negeri sedang berusaha menyerlahkan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Antaranya ialah mengadakan hari-hari kebesaran Islam peringkat negeri dan daerah serta kampung, katanya ketika menjawab soalan Datuk Nadzri Ismail (BN-Manjoi) mengenai perkara tersebut.

Selain mengadakan muzakarah ulama dan multaqa Sultan Perak, seminar dan bengkel, Menteri Besar berkata, kerajaan juga telah mewujudkan Institut Tadbir Islam (Intim) bagi menyediakan pelbagai kursus untuk kemantapan umat Islam.