Sukma: Selangor ternyata sukar dicabar
Selangor ternyata sukar diatasi oleh kontinjen lain dalam temasya Sukan Malaysia ke-15 apabila terus mendahului kutipan pingat keseluruhan, pada hari ke-10 kejohanan semalam.
Secara keseluruhan, kontinjen Selangor kini mengumpul 26 pingat emas, 14 perak dan 24 gangsa.
Pencabar utama, Terengganu, yang juga johan Sukma Melaka 2010, menduduki tempat kedua dalam senarai kedudukan pingat dengan 16 emas, enam perak dan 12 gangsa diikuti Wilayah Persekutuan dengan 13 emas, 17 perak dan 19 gangsa.
Tuan rumah, Pahang menghuni tangga ketujuh dengan kutipan keseluruhan sembilan emas, 15 perak dan sembilan gangsa.
Bagi acara bola sepak, empat pasukan iaitu Negeri Sembilan, Sabah, Perak dan Wilayah Persekutuan layak ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Khamis.
Hari ini, acara skuasy, wushu dan ekuestrian (displin show jumping dan dressage) akan membuka tirai.
- Bernama

