'Rakyat S'gor tidak terpedaya rayuan PM'
ULASAN Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengamalkan pentadbiran tidak adil dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Selangor apabila menafikan hak rakyat negeri ini.
Pembayar cukai di Selangor menyumbangkan sebanyak 23 peratus kepada jumlah cukai yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi hanya 3 peratus daripada belanjawan negara dikembalikan semula kepada Selangor.
Ketidakadilan Kerajaan Persekutuan BN memberi cabaran besar kepada Kerajaan Selangor untuk mentadbir negeri ini menggunakan sumber negeri yang berjaya dijana menerusi pentadbiran yang baik dan amanah tanpa bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan.
Menggunakan sumber negeri, kita tidak sekadar memenuhi janji-janji, malah berjaya mencapai lebih daripada yang dijanjikan. Kerajaan Selangor berjaya mencegah rasuah di semua peringkat, menghentikan ketirisan sumber-sumber negeri dan hemah berbelanja. Hasilnya, Kerajaan Selangor berjaya meningkatkan simpanan tunai kerajaan dari RM400 juta pada 2008 hampir lima kali ganda ke RM1.9 billion pada 2011.
Sebanyak RM700 juta dipulangkan semula kepada rakyat melalui program-program kebajikan di bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Ini adalah bukti komitmen Kerajaan Selangor terhadap janji untuk mengurus hasil negeri secara beramanah dan bertanggungjawab.
Kita berjaya memastikan pembangunan terus berjalan rancak di Selangor di samping tidak melupakan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi program MES dan projek rumah mampu milik.
Ini membuktikan bahawa Pakatan Rakyat mampu mentadbir Selangor dengan lebih baik walaupun berdepan dengan sekatan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan BN.
Sehubungan itu, rakyat Selangor tidak seharusnya terpedaya dengan rayuan Perdana Menteri supaya memilih BN dalam pilihan raya akan datang kerana sudah terbukti negeri Selangor akan lebih maju di bawah Pakatan Rakyat.
Kita amat yakin rakyat Selangor tidak akan melupakan jasa-jasa sepanjang 50 tahun BN memerintah Selangor. Tetapi kita juga yakin dan percaya rakyat tidak lupa kelemahan BN yang membiarkan rasuah berleluasa, pengurusan sumber-sumber semula jadi menguntungkan kroni sekaligus membebankan rakyat jelata dan hasil negeri dibolot untuk golongan tertentu sahaja.
Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat yang berasaskan nilai-nilai reformasi telah berjaya merakyatkan pentadbiran negeri dan mengembalikan semula hasil negeri kepada pemilik asal, iaitu rakyat Selangor; Hasil Negeri Untuk Rakyat.
Perdana Menteri mendakwa bahawa sekiranya dasar-dasar ekonomi Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dilaksanakan, ekonomi negara akan hancur. Kita yakin jika dasar-dasar Buku Jingga dilaksanakan di peringkat Persekutuan, ekonomi kita akan bertambah baik dan rakyat mendapat lebih banyak manfaat kerana sumber kewangan akan diuruskan lebih telus dan bertanggungjawab.
Umno juga mengatakan Selangor akan bankrup ketika mula-mula kita memperkenalkan air percuma. Hakikatnya tidak begitu. Kedudukan kewangan kerajaan negeri tidak terjejas sedikitpun dengan dasar ini, malah simpanan tunai ditingkatkan hampir lima kali ganda hasil dari kecekapan pengurusan.
Pihak Barisan Nasional mendakwa wujudnya penyelewengan RM1 billion di Selangor tetapi bukti nyata menunjukkan bahawa sebenarnya Kerajaan Selangor berjaya mengutip semula ratusan juta hutang-hutang yang gagal dikutip semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional.
Perdana Menteri sepatutnya bertanya kepada tiga Menteri Besar Umno sebelum ini mengapa lalai mengutip hutang-hutang ini.
Pakatan Rakyat berterima kasih atas peluang yang diberi oleh rakyat pada 2008 dan yakin sepenuhnya dengan keupayaan serta kebijaksanaan rakyat untuk membandingkan prestasi kami berbanding dengan prestasi pentadbiran-pentadbiran yang sebelumnya.
Selangor layak menjadi menjadi kayu ukur untuk rakyat menilai corak pemerintahan yang akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat mentadbir Putrajaya. Jika Selangor berjaya ditadbir dengan baik, telus dan penuh pertanggungjawaban, maka rakyat pasti yakin kebolehan kita di peringkat Persekutuan.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM adalah menteri besar Selangor yang ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

