Utusan dakwa wujud lombong emas haram di K'tan
Utusan Malaysia mendakwa operasi lombong emas haram sejak beberapa tahun lalu di empat daerah di Kelantan menyebabkan kerajaan negeri mengalami kerugian jutaan ringgit selain mencemarkan dan merosakkan sungai.
Laporan memetik sumber yang tidak dinamakan hari ini mendakwa kebanyakan daripada operasi haram di Tanah Merah, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang itu djalankan berhampiran dengan lombong berlesen.
Pengusaha lombong haram tersebut beroperasi dengan kos serendah RM5,000 sehari tetapi mampu memperoleh hasil sehingga satu kilogram dalam tempoh tiga hari melombong, dakwa laporan tersebut.
Laporan itu juga mendakwa operasi berkenaan dijalankan di sepanjang tebing sungai tanpa membina kolam mendapan dan saliran air seperti syarat melombong.
"Ada juga yang mengorek dan menimbus dasar sungai sehingga menyebabkan kerosakan serius pada aliran sungai," kata laporan tersebut.
Ia turut menyatakan bahawa Kelantan mempunyai enam syarikat perlombongan emas berlesen dan mengeluarkan sebanyak 87 permit cari gali.

