Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warta draf pelan bandaraya KL 2020 ditangguh lagi
Diterbitkan:  Jul 13, 2012 6:41 AM
Dikemaskini: 10:43 PM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan tarikh pewartaan Draf Pelan Bandaraya Kuala Lumpur (DPBRKL) 2020 buat kali kedua kepada 28 Februari tahun depan bagi meneliti beberapa isu yang dibangkitkan.

    

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata DBKL sepatutnya mewartakan draf tersebut pada 1 Julai lepas memandangkan segalanya telah siap dan pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada dasarnya telahpun bersetuju dengan tarikh tersebut.

    

"Tetapi apabila kami (DBKL) mengadakan satu pendengaran akhir di Institut Latihan DBKL berhubung pewartaan tersebut, penduduk memberi bantahan terutama isu yang mengaitkan jalan raya dan juga projek transit aliran massa MyRapid Transit (MRT) yang menimbulkan ketidakpuasan hati mereka," katanya dalam sidang akhbar semalam.

    

Ahmad Fuad berkata sehubungan itu, DBKL perlu menangguhkan tarikh pewartaan draf berkenaan buat kali kedua dan meneliti beberapa isu yang perlu diselesaikan bagi menjamin keberkesanan pelaksanaannya.

    

Draf tersebut sebelum ini dijangka diwartakan pada 30 September tahun lepas, namun terpaksa ditangguh pada 1 Julai lepas.

Menyentuh persaraannya, Ahmad Fuad berkata dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau tidak mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang memegang jawatan sebagai Datuk Bandar adalah tidak benar.

    

Katanya beberapa pencapaian memberangsangkan berjaya dicapai oleh DBKL semasa beliau menyandang jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang kesembilan sejak Disember 2008.

    

Ahmad Fuad, 59, yang sepatut bersara wajib pada 15 Julai tahun lepas telah dilanjutkan perkhidmatannya selama setahun secara kontrak.

    

Beliau akan digantikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib.

- Bernama

ADS