DPPM saran rakyat M'sia luar negara jadi pengundi biasa
ULASAN Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menentang cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan rakyat Malaysia di luar negara mengundi pos.
Bagi DPPM, cadangan SPR tidak relevan dengan keadaan sekarang kerana ia akan terdedah kepada pelbagai manipulasi atau penipuan oleh sesetengah pihak.
Meskipun DPPM bersetuju membenarkan rakyat luar negara mengundi dalam pilihanraya di negara ini, namun tidak perlu sampai menjadikan mereka sebagai pos. SPR tidak perlu berfikir sesingkat itu dalam menyelesaikan masalah menunaikan hak pengundi luar negara.
Ini kerana dalam keadaan sistem pilihan raya yang ada sekarang, undi pos telah menjadi persoalan rakyat mengenai ketelusannya. Sudah banyak bukti dan saksi menunjukkan undi pos dengan mudah dimanipulasi oleh sesetengah pihak untuk memenangkan calon dan parti tertentu.
DPPM mempersoalkan, jika penipuan ini boleh berlaku di kem-kem tentera dalam dalam negara ini, apakah jaminan penyelewengan tidak akan berlaku dalam sistem undi pos untuk rakyat di luar negara?
Yang membimbangkan, jika undi pos ini dilaksanakan, lebih banyak lagi peluang pihak tertentu menang mudah melalui sistem seperti ini. Malah menjadi pengetahuan umum undi pos dianggap sebagai ‘deposit tetap’ oleh pihak tertentu dan mana-mana parlimen yang mempunyai pengundi pos yang ramai, sudah tentu calon tertentu akan menang selesa tanpa perlu berkempen.
DPPM berpendapat banyak lagi mekanisme yang boleh dibuat daripada menggunakan kaedah undi pos seperti yang dicadangkan. Antaranya ialah dengan menjadikan rakyat di luar negara sebagai pengundi biasa dan membuang undi seperti rakyat biasa di negara ini.
DPPM mengesyorkan supaya pejabat kedutaan di luar negara dijadikan sebagai pusat pembuangan undi dan proses pengiraannya juga dibuat di kedutaan.
Petugas SPR dan wakil parti-parti politik yang bertanding dibenarkan untuk menyaksikan proses pembuangan dan pengiraan undi ini. Dengan cara ini keputusan pilihan raya boleh diterima dengan cara yang paling telus dan diyakini.
DPPM juga mendesak SPR menjelaskan terlebih dahulu kepada parti-parti politik mengenai konsep dan mekanisme undi pos ini terlebih dahulu sebelum cadangan ini di bawa ke peringkat pindaan di parlimen. Ini kerana parti-parti politik masih tidak jelas bagaimana keadaannya dan bagaimana ia akan digunakan kelak.
DR RAJA AHMAD AL HISS adalah naib ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

