BERITA

K'jaan S'gor mahu ambil alih operasi SYABAS

Hazlan Zakaria

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Jul 2012, 10:10 pagi

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan negeri itu mahu melaksanakan haknya untuk mengambil alih operasi syarikat pemegang konsesi air negeri - Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

Katanya, ini kerana kerajaan Selangor meragui pengumuman cadangan catuan air oleh SYABAS kerana pengawal selia air negeri dan ahli lembaga pengarah SYABAS tidak dimaklumkan.

NONE Bercakap dalam sidang akhbar hari ini, Khalid berkata, tujuh empangan negeri di seluruh Selangor mempunyai kapasiti air yang cukup dan melimpah.

Berikutan itu, katanya, kerajaan negeri membuat keputusan mengunakan kuasa bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi untuk memberi notis kepada Kerajaan Persekutuan untuk Kerajaan Negeri “step-in” dalam operasi SYABAS.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Khalid menjelaskan, bagi menjaga kepentingan rakyat Selangor, kerajaan negeri meminta setiausaha kerajaan negeri bersama pengawal selia air negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh SYABAS.

Jawatankuasa tersebut, katanya, akan minta SYABAS memberi laporan harian untuk menerangkan kedudukan  air semasa.

Tidak sama dengan krisis air 1998

Sementara itu, kata Khalid lagi, Konsortium ABASS juga akan diminta menyertai jawatakuasa itu yang mana syarikat itu akan memanggil pakar bebas yang berpengalaman semasa krisis air 1998 untuk memantau kesahihan laporan dan maklumat oleh SYABAS.

"Perlu ditekan di sini, keadaaan sekarang tidak boleh disamakan dengan krisis air pada 1998 kerana tujuh empangan negeri di seluruh Selangor mempunyai kapaisiti air yang cukup dan melimpah.

"Kerajaan negeri menggesa supaya proses penstrukturan semula industri air diteruskan dengan segera kerana SYABAS jelas tidak berkemampuan untuk memberi perkhidmatan air yang baik kepada pengguna," kata Khalid.

Ini, tambahnya, jelas ditunjukkan apabila SYABAS setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 billion.

"SYABAS juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil ( non-revenue water ) kepada 20 peratus. Tambah pula, laporan awal audit mendapati SYABAS tidak melaksanakan kerja-kerja capex ( capital expenditure ) mereka dengan baik," kata Khalid lagi.

Berdasarkan alasan di atas, katanya, kerajaan negeri sudah dua kali menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan pada 19 Disember 2008 dan 21 Januari 2011 untuk membatalkan perjanjian konsesi tersebut.

"Oleh kerana Kerajaan Persekutuan tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat-surat tersebut, kerajaan negeri telah membuat keputusan mengunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi untuk memberi notis kepada Kerajaan Persekutuan untuk Kerajaan Negeri “step-in”  dalam operasi SYABAS.

"Kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha mencari sumber air alternatif seperti air bawah tanah dan menambah baik kapisiti loji rawatan air sedia ada dengan mengguna pakai teknologi terkini," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.