MBK dan BN digesa bukti dakwaan gadis Kelantan jadi GRO
Sebuah persatuan anak Kelantan ingin bersemuka dengan dua pemimpin Umno dari Kelantan berhubung dakwaan mereka bahawa 13,000 gadis dari negeri itu menjadi GRO di sekitar Lembah Kelang.
Sebuah persatuan anak Kelantan ingin bersemuka dengan dua pemimpin Umno dari Kelantan berhubung dakwaan mereka bahawa 13,000 gadis dari negeri itu menjadi GRO di sekitar Lembah Kelang.
Setiausaha Sekretariat Anak Kelantan Perantauan (Perakan), Wan Johari Wan Omar, berkata dakwaan tersebut sangat serius dan membawa implikasi negatif terhadap maruah dan imej anak gadis Kelantan.
Kenyataan tersebut dibuat oleh Penasihat Majlis Belia Kelantan (MBK) Mustapa Yaacob di majlis Wacana Ekonomi, Sosial Negeri Kelantan mengenai pengangguran di kalangan belia negeri itu, di Kota Bharu kelmarin.
Seorang lagi penal ialah Pensyarah Sosiologi dan Antropologi Universiti Malaya, Prof. Fatimah Daud.
Mustapa mendakwa kira-kira 13,000 gadis Kelantan sanggup menjadi pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sekitar Lembah Klang setelah gagal memperoleh pekerjaan di negeri tersebut.
Manakala Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Hal-Ehwal Wanita Barisan Nasional (BN) Kelantan, Abdul Aziz Derashid pula, ketika mengulaskan perkara tersebut, berkata selain kekurangan peluang pekerjaan, mereka juga kurang mendapat didikan agama daripada keluarga.
Penyelidikan
Sehubungan itu, Wan Johari berkata pihak-pihak berkenaan seharusnya memikirkan implikasi dakwaan mereka terhadap masyarakat Kelantan perantau dan bukan hanya mencari modal politik dan cuba merosakkan kewibawaan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui PAS.
"Dakwaan tanpa bukti terperinci adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan merosakkan nama baik gadis Kelantan yang bekerja di Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, katanya, Mustapa dan Aziz perlu menunjukkan data penyelidikan yang terperinci bagi membuktikan dakwaan mereka.
Oleh itu, kata Wan Johari pihaknya bersedia berjumpa dengan Mustapa dan Aziz untuk mendapatkan informasi yang berdasarkan kepada fakta yang konkrit.
"Kita mahu meneliti sama ada gejala yang didakwa ini berpunca daripada masalah peluang pekerjaan dan ekonomi atau kurangnya pendidikan moral, agama dan nilai kekeluargaan," tambahnya.
Oleh itu, beliau berkata, persatuannya sedia dilibatkan bersama semua pihak yang prihatin terhadap gadis-gadis Kelantan, tanpa mengira fahaman politik.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.