Polimik mengenai pemilihan Umno September ini berlanjutan apabila seorang pemimpin Umno di Wilayah Persekutuan menyarankan supaya Majlis Tertinggi (MT) Umno menasihatkan semua bahagian supaya mencalonkan tiga nama untuk jawatan naib presiden yang mereka persetujuinya.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee, berkata pendekatan itu selaras dengan nasihat MT kepada bahagian-bahagian supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan.

Menurut Bernama , beliau juga mencadangkan agar semua ahli parti yang ingin bertanding jawatan naib presiden dan juga sebagai ahli MT supaya membuat pendaftaran "minat bertanding" di ibu pejabat Umno.

Menurutnya, peraturan ini, pernah dilaksanakan oleh ibu pejabat parti suatu ketika dahulu.

Sebelum ini, Presiden Kelab Senator yang baru dilantik, Datuk Hamzah Zainuddin menegur Badan Perhubungan Umno negeri yang menyenaraikan siapakah yang boleh bertanding jawatan MT.

Menurutnya, Badan Perhubungan Umno negeri tidak berhak berbuat demikian kerana perlembagaan parti menetapkan, sokongan datangnya dari peringkat cawangan diikuti bahagian dan seterusnya MT.

Dilema

Sebelum ini, Badan Perhubungan Umno Perak mengumumkan yang ia hanya merestui tujuh pemimpin dari negeri itu bertanding MT, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abdul Aziz Samsuddin dan Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi;

Syed Ali sebagai berkata, oleh kerana ramai calon yang berminat tetapi tempat terhad, ini menimbulkan dilema kepada bahagian untuk membuat pencalonan.

Tiga naib presiden sekarang ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Antara yang berminat bertanding jawatan itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohamed Ali Rustam, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohamed Isa Samad, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed.

Pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan berkata MT tidak menghalang Badan Perhubungan negeri merestui calon-calon tertentu bertanding jawatan dalam MT kerana ia sememangnya menjadi amalan selama ini.

Katanya, dari segi amalannya, badan perhubungan mempunyai pendirian masing-masing dalam menentu atau menyenaraikan siapa yang boleh bertanding MT.

Menurutnya, ini memandangkan Badan Perhubungan yang menyelaraskan segala kegiatan dan keputusan politik, maka ia turut dianggotai semua ketua bahagian.

Tarik balik

Lagi pula, katanya Najib, walaupun badan perhubungan mempunyai senarai calon yang direstuinya, calon-calon lain masih berhak bertanding dan tiada siapa yang boleh menghalang mereka.

Manakala Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula dilaporkan berkata, Badan Perhubungan Umno Perak sedia menarik balik cadangannya menyenaraikan nama tujuh calon untuk bertanding jawatan MT September depan, jika tidak dipersetujui pucuk pimpinan.

Beliau juga mengakui Umno negeri tidak boleh mencalonkan sesiapa bertanding jawatan MT kerana ia hanya boleh dibuat di peringkat Umno bahagian.

"Ini (cadangan) kalau tidak dipersetujui oleh MT, Umno negeri akan menarik balik cadangan itu, tiada masalah.

"Kita cuma syorkan dan dipersetujui pada mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, baru-baru ini.

"Kalau ada orang lain hendak bertanding, bertandinglah. Keadaan sama berlaku pada pemilihan 2001, yang mana Umno negeri turut mengesyorkan beberapa nama calon, sehingga timbul soal calon swasta," kata beliau.

Bagaimanapun, katanya, apa yang disyorkan itu tidak akan menyekat ahli lain untuk bertanding MT pada pemilihan parti nanti.