Mustapa Mohamad sah tanding naib presiden
Seperti diduga, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamad secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu September ini.
Seperti diduga, pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamad secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti itu September ini.
Dengan itu, kini terdapat dua calon dari Kelantan yang setakat ini berminat untuk bertanding jawatan tersebut.
Sebelum ini, timbalannya, Datuk Zaid Ibrahim ( gambar ) yang juga ahli Parlimen Kota Bharu, adalah calon paling awal menawarkan diri untuk dicalon bagi jawatan berkenaan.
Menurut Bernama , Mustapa yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau menawarkan diri untuk jawatan tersebut supaya dapat terus memberikan khidmat terbaik kepada parti.
"Ketika mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan tadi, saya telah menyatakan berminat bertanding jawatan naib presiden. Saya mohon sokongan daripada kawan-kawan di Kelantan dan di seluruh negara," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Kota Bharu malam tadi.
Mustapa yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mendapat undi kedua terbanyak dalam pemilihan MT yang lalu, selepas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang turut berminat bertanding jawatan naib presiden.
Ditanya sama ada kewujudan dua calon dari Kelantan bertanding jawatan yang sama akan memecahkan undi dan mengurangkan peluang mereka, Mustapa berkata: "Tidak, ini tidak berbangkit".
Tidak puashati
Sementara itu, mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam yang menolak empat petisyen pilihanraya umum ke-11 yang difailkan oleh Barisan Nasional (BN) serta lima petisyen PAS, Mustapa berkata, BN menghormati keputusan mahkamah.
Bagaimanapun beliau menyifatkan laporan bahawa ramai penyokong BN tidak berpuas hati dengan keputusan itu, sebagai perkara biasa dalam mana-mana kes seumpama itu.
"Biasalah takkan seratus peratus puas hati. Biasalah dalam mana-mana kes mahkamah, tetapi mahkamah dah buat keputusan dan kita terpaksa menghormati keputusan mahkamah," katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak kesemua sembilan petisyen itu kecuali kerusi Parlimen Pasir Puteh yang diisytiharkan dimenangi calon BN Che Min Che Ahmad (
gambar
).
Mahkamah telah membatalkan kemenangan calon PAS Kalthom Othman kerana kesilapan pegawai Suruhanjaya Pilihanraya ketika mengumumkan nama calon yang sepatutnya menang.
Pada 21 Mac lalu, SPR mengumumkan Kalthom sebagai calon yang menang setelah mendapat 27,018 undi, menewaskan Che Min, bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang memperolehi 23,208 undi dengan majoriti 3,810 undi.
Mustapa berkata dengan berakhirnya kes petisyen itu, wakil rakyat BN akan meneruskan tugas sebagai wakil rakyat berkesan bagi membuktikan kemampuan BN untuk membela nasib rakyat.
Mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin ini, Mustapa yang juga Ketua Pembangkang DUN Kelantan berkata lebih 100 soalan lisan membabitkan pelbagai isu dan masalah rakyat telah dihantar Adun BN kepada pejabat Speaker DUN Kelantan untuk dikemukakan pada persidangan sehari itu.
Sokong Shahrir
Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Johor baharu menyuarakan sokongan penuh kepada Ketua Umno bahagian itu Datuk Shahrir Samad untuk bertanding jawatan naib presiden.
Ketua Pemuda Umno Bahagian Abu Talib Alias berkata Shahrir yang juga ahli MT dan Ahli Parlimen Johor Baharu, mampu memainkan peranan besar di peringkat nasional.
Dalam satu kenyataan semalam, Abu Talib berkata, berdasarkan rekod sokongan yang diterima Shahrir sehingga ini, maka sudah tiba masanya untuk beliau bertanding naib presiden.
"Pada peringkat Bahagian pula, setelah 33 daripada keseluruhan 77 cawangan bermesyuarat, kesemuanya mencalonkan Shahrir untuk mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian dan Pemuda Bahagian akan memastikan beliau menang tanpa bertanding," katanya.
Menurut laporan sebuah akhbar, Shahrir bersedia menawarkan diri untuk bertanding naib presiden jika mendapat pencalonan yang mecukupi daripada 191 bahagian Umno di negara ini.
Jika bertanding, Shahrir akan menyertai dua lagi tokoh dari Johor iaitu penyandang Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang turut menyatakan kesediaan untuk bertanding merebut satu daripada tiga jawatan naib presiden itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.