Pusat Gerakan Reformasi Malaysia (Pager) menawarkan bantuan guaman untuk membela keluarga yang enggan menghantar anak-anak mereka menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Penyelaras Pager, Badrul Hisham Shaharin berkata bantuan guaman turut ditawarkan kepada mereka yang menjadi mangsa PLKN dan keluarga yang menghadapi masalah setelah menghantar anak-anak menyertai program tersebut.

Menurutnya, Pager boleh dihubungi di talian 06-6338617, 016-3242564 dan 012-6657329 atau melalui e-mel .

"Malah diharap bukan sahaja ibu bapa tetapi golongan remaja sendiri pun boleh menghubungi kami dibantu," kata Badrul Hisham dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pager menawarkan bantuan guaman tersebut kerana langkah menyiarkan nama calon yang tidak hadir serta ugutan untuk membawa mereka ke mahkamah, mencabuli hak ibu bapa untuk memastikan persekitaran yang selamat bagi anak mereka membesar.

Akhbar-akhbar melaporkan hari ini bahawa waran tangkap akan dikeluarkan kepada 8,559 calon PLKN selepas nama mereka disiarkan dalam akhbar baru-baru ini, jika masih gagal melaporkan diri sehingga hari ini.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Profesor Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri dilaporkan berkata, pihaknya akan menyerahkan senarai nama calon terbabit kepada polis selepas tarikh tersebut untuk mendapat waran tangkap di mahkamah.

Program tersebut dijadualkan berlangsung mulai 25 Julai ini. Seramai 85,000 remaja yang lahir pada 1986 telah dipilih secara rawak untuk mengikuti PLKN Februari lalu.

Bagaimanapun, hanya 66,239 remaja mendaftar untuk mengikut program tersebut manakala 8,665 peserta mendapat kebenaran penangguhan dan 1,537 lagi memperoleh pengecualian. Jumlah selebihnya iaitu 8,559 gagal menghadirkan diri.

Tergesa-gesa

Menurut Badrul Hisham, PLKN dibantah oleh pelbagai pihak sejak di peringkat perancangannya lagi, tetapi pihak kerajaan tidak mengendahkannya dan terus melaksanakan program itu secara tergesa-gesa.

"Setelah dilaksanakan, jelas kebimbangan yang tercetus di kalangan masyarakat menjadi realiti. Pelbagai masalah timbul. Sekali lagi beberapa pertubuhan dan individu muncul mendesak PLKN ditangguhkan dan dikaji semula.

"Beberapa parti politik seperti Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat dan beberapa pertubuhan lain, telah tampil bersedia menawarkan kerjasama ke arah memperbaiki pelaksanaan program tersebut jika kerajaan benar-benar berhasrat untuk memperbaiki nilai jati diri remaja," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan meneruskan juga perlaksanaan program tersebut dengan 'modul rahsianya' seolah-olah ia tidak peduli dengan masalah termasuk kematian peserta PLKN.

"Setelah pelbagai masalah wujud, sudah tentunya ibu bapa takut untuk menghantar anak-anak mereka menyertai PLKN. Namun kebimbangan ibu bapa ini telah dijawab dengan ugutan akan didakwa di mahkamah, manakala nama anak-anak mereka disiarkan di akhbar.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai mencabul hak ibu bapa terhadap anak-anak mereka, beliau berkata Pager amat kesal dengan sikap kerajaan yang tidak memperdulikan kebimbangan rakyat itu.

"Menginsafi keperluan membela hak keluarga tersebut, maka Pager, sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, bersedia untuk membela golongan yang menjadi mangsa PLKN ini," katanya.